Tiada lampu hijau buka semula premis judi: KPN

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan kononnya Bukit Aman memberi lampu hijau kepada sindiket perjudian untuk beroperasi semula di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, fitnah jahat yang tersebar sejak penghujung tahun lalu itu sengaja dilakukan pihak tertentu untuk menakut-nakutkan pegawai dan anggota polis di lapangan daripada melakukan serbuan dan operasi di premis judi.

"Dakwaan tidak berasas itu menyatakan bahawa semua premis perjudian boleh kembali beroperasi menjelang pertengahan Januari tahun ini atau sebelum Tahun Baharu Cina.

"Di sini saya menegaskan bahawa ungkapan kononnya Bukit Aman sudah memberi 'greenlight' atau lampu hijau untuk mereka (sindiket) bergiat aktif semula adalah satu fitnah jahat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Abdul Hamid berkata, beliau sudah mengingatkan semua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM supaya berani mengambil tindakan ke atas tauke judi yang memporak-perandakan kehidupan masyarakat.

"Saya amat menghargai usaha berterusan pegawai dan anggota PDRM dalam membanteras sebarang bentuk elemen sindiket perjudian selain menyokong tindakan di bawah undang-undang Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid turut mencadangkan supaya tindakan persona non grata dikenakan terhadap mana-mana warga asing yang terbabit dengan sindiket perjudian.

"Perkara ini akan diangkat kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, amat menyedihkan apabila ramai dalam kalangan 'kaki judi' terperangkap dengan hutang sehingga melakukan jenayah samun, curi dan ragut untuk membiayai ketagihan judi yang dialami.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap usaha Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang menyerbu premis perjudian dalam talian di Pandan Jaya, Ampang, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Dalam serbuan ke atas rumah kedai empat tingkat itu, polis menahan seramai 12 individu yang sedang leka berjudi dan enam penjaga premis terdiri daripada warga asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, premis berkenaan didapati beroperasi selama 24 jam sejak dua minggu lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 individu diberkas di premis 'mesin judi' 24 jam