Pondok tahfiz tanam terung, ternak ikan keli

Penyelia Pondok Tahfiz Padang Bongor, Uthman Muhamed menyauk beberapa ekor ikan keli yang dipesan pelanggan. - Foto Bernama
Penyelia Pondok Tahfiz Padang Bongor, Uthman Muhamed menyauk beberapa ekor ikan keli yang dipesan pelanggan. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Pondok Tahfiz Padang Bongor, dekat sini, tidak sekadar berharap kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai untuk mengurus pusat pengajian, sebaliknya turut mengambil inisiatif menanam terung dan menternak ikan keli bagi menjana pendapatan tambahan pondok berkenaan.

Mudir Pondok Tahfiz Padang Bongor Md Zilizam Sibaweh berkata projek fertigasi penanaman terung dan penternakan ikan keli itu berjaya menjadikan pondok berusia hampir 10 tahun yang menempatkan 70 pelajar itu mempunyai sumber kewangan mampan dalam menguruskan komitmen bulanan yang tinggi.

Katanya idea beliau untuk memulakan penanaman terung di bahagian bumbung bangunan telah dilaksanakan pada Ogos tahun lepas, dan percubaan kali pertama berjaya membuahkan hasil agak baik, sehingga boleh dijual kepada penduduk setempat dan pemborong.

"Sekarang ini kami tanam 500 pokok terung di atas bumbung bangunan dengan kaedah fertigasi dan mengutip hasil dua atau seminggu sekali untuk dijual kepada pemborong di pusat bandar Tanah Merah dengan harga RM6 sekilogram.

Projek tanaman terung dan ternakan ikan keli yang diusahakannya itu adalah untuk menjana pendapatan bagi mengurus pusat pengajian tersebut. - Foto Bernama
Projek tanaman terung dan ternakan ikan keli yang diusahakannya itu adalah untuk menjana pendapatan bagi mengurus pusat pengajian tersebut. - Foto Bernama

"Usaha kami ini sedikit sebanyak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri yang menyumbangkan rumah hijau untuk dipasang di atas bumbung bagi melindungi tanaman ini daripada rosak," katanya ketika ditemui Bernama di pondok tahfiz berkenaan pada Ahad.

Sementara itu mengenai ternakan ikan keli, penyelia pondok tahfiz berkenaan, Uthman Muhamed berkata pada peringkat awal, beliau mengeluarkan modal sendiri iaitu sebanyak RM3,000 bagi melaksanakan inisiatif itu.

"Pada Ogos tahun lepas, apabila pihak pondok tahfiz memutuskan mahu membuat pertanian dan penternakan untuk jana pendapatan, kami fikir dengan cara ternak ikan keli sesuai dilakukan di sini sebab ia mudah dan hasil juga banyak.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini kita ternak 10,000 ekor ikan keli dan telah menjual 600 kilogram dalam tempoh tiga bulan lepas dengan harga RM6 sekilogram," katanya.

Uthman berkata mereka turut bercadang memperluaskan inisiatif di tanah kosong milik pondok tahfiz berkenaan yang terletak berdekatan dengan pusat pengajian itu, memandangkan ia dilihat dapat membantu kewangan mereka. - Bernama