X

Kindly register in order to view this article
!

NUTP sokong cadangan wujudkan saluran khas pendidikan

Aminuddin Awang
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik dan menyokong cadangan ibu bapa yang mahu Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan satu saluran khas pendidikan di televisyen yang boleh diakses murid daripada setiap golongan pendapatan.

Presidennya Aminuddin Awang berkata langkah itu juga dilihat sebagai satu kaedah yang tepat untuk memperluas dan memperkasakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan dipercayai bakal memberi impak positif kepada prestasi akademik pelajar.

"Dengan adanya siaran yang berfokus ini, bermakna penumpuan boleh terarah kepada satu arah yang dimaksudkan tadi dan dari aspek pengawalan kualitinya juga dapat dijaga dan ini boleh memberikan impak positif kepada murid-murid yang mengikutinya," katanya yang dihubungi Bernama TV.

Bagaimanapun Aminuddin berkata siaran TV Pendidikan tidak boleh menjadi satu-satunya cara untuk diguna dalam proses PdPR kerana ia hanya melibatkan sesi pengajaran sehala, justeru langkah itu perlu disekalikan dengan pembelajaran dan pengajaran secara maya menggunakan peranti dan capaian internet.

Sebelum ini, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19, kecuali bagi pelajar yang menduduki peperiksaan penting pada 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Keputusan itu menerima pelbagai reaksi golongan ibu bapa, apabila terpaksa menyediakan peranti elektonik dan capaian internet untuk anak-anak mereka mengikuti proses PdPR, justeru mereka berpendapat, siaran TV pendidikan dapat menjadi penyelesaian kepada masalah itu.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpendapat beberapa cadangan seperti pemerkasaan TV Pendidikan dan pemberian peranti elektronik serta bantuan kewangan kepada keluarga dan pelajar dari golongan B40, wajar dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan.

Presidennya Mohd Alif Anas Md Noor berkata GPMS berkata beberapa peruntukan yang pada awalnya dikhususkan kepada KPM dan kemudiannya tidak digunakan rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seharusnya disusun semula untuk pemberian peranti elektronik kepada pelajar yang layak.

“Contoh yang jelas adalah peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Makanan Asrama (BMA).

“Sekiranya dana ini diguna pakai bagi tujuan perolehan peranti elektronik, nescaya hampir semua pelajar dari keluarga berpendapatan rendah bakal menerima manfaat,” menurutnya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata GPMS juga menyeru keutamaan diberi dalam menyusun semula peruntukan KPM ke arah pemberian peranti yang boleh digunakan bagi tujuan PdPR.

“Perkara ini perlu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya. Sekiranya ada peruntukan KPM yang boleh disusun semula bersama Kementerian Kewangan, GPMS mohon ia digunakan untuk penyediaan peranti elektronik kepada pelajar yang layak,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!