Bupati Sleman positif Covid-19 sebelum disuntik vaksin

Sri Purnomo ketika melakukan ujian swab bagi memastikannya bebas Covid-19. - Foto Instagram Sri Purnomo
Sri Purnomo ketika melakukan ujian swab bagi memastikannya bebas Covid-19. - Foto Instagram Sri Purnomo
A
A
A

JAKARTA - Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan Bupati Sleman di Yogyakarta, Sri Purnomo yang didapati positif Covid-19 hanya selepas beberapa hari menerima suntikan vaksin sebenarnya telah dijangkiti virus itu sebelum menerima dos pertama.

Menurut laporan media tempatan, Sri Purnomo menerima suntikan vaksin Sinovac pada 16 Januari lepas dan pada 20 Januari, beliau disahkan positif Covid-19.

Beliau kini menjalani kuarantin di rumah.

Indonesia memulakan vaksinasi Covid-19 sejak 13 Januari lepas yang menyasarkan suntikan kepada lebih 182 juta penduduk.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Dr Siti Nadia Tarmidzi dalam satu kenyataan berkata, vaksin itu bukan penyebab Sri Purnomo dijangkiti virus berkenaan, sebaliknya beliau telahpun dijangkiti sebelum suntikan itu dilakukan.

"Dari awal juga sudah ditekankan bahawa vaksinasi Covid-19 memang memerlukan dua kali dos suntikan, suntikan pertama untuk imunisasi awal, suntikan kedua untuk menguatkan imunisasi yang telah terbentuk.

"Beberapa vaksin lain seperti cacar dan hepatitis A misalnya juga memerlukan dua dos vaksin, malah ada (vaksin yang lain) yang lebih dari itu (lebih dari dua kali)," katanya.

Sementara itu, Ketua Satuan Penugasan Covid-19 Indonesia, Doni Monardo yang sebelum ini sering berada di beberapa kawasan bencana alam di Indonesia seperti meninjau kawasan gempa bumi di Sulawesi Barat dan kawasan banjir di Kalimantan, turut dijangkiti virus itu.

Artikel Berkaitan:

"Dari hasil ujian PCR malam tadi, pagi ini, mendapatkan hasil positif Covid-19," menurut Doni Monardo yang juga Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan data BNPB setakat Jumaat, sebanyak 965,283 orang di Indonesia dijangkiti virus itu, manakala 781,147 daripadanya telah sembuh. - Bernama