Polis cari saksi kemalangan lelaki maut, anak parah

No Image Caption
A
A
A

RAWANG - Polis mengesan saksi bagi mendapatkan maklumat mengenai kemalangan melibatkan seorang lelaki yang maut manakala anak perempuannya cedera parah apabila motosikal mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 450.8 Lebuh Raya Utara Selatan hala Rawang pada pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, penunggang tersebut dikenali sebagai Mustafa Abu Bakar, 50, menunggang motosikal itu bersama anaknya, Fatin Farzana, 21, dipercayai dalam perjalanan menghantar gadis tersebut ke tempat kerja.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shariat berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta mengubah haluan dari lorong dua kiri ke lorong satu.

"Pada sama mangsa yang menunggang motosikal juga sedang mengubah haluan dari lorong kecemasan ke lorong satu.

"Kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki bagaimanapun tidak sempat mengelak motosikal yang ditunggang mangsa lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, akibat daripada itu kereta berkenaan terbabas ke bahu jalan lalu melanggar penghadang jalan sebelah kiri.

"Anak mangsa yang membonceng motosikal tersebut tercampak di bahu jalan sebelah kiri manakala mangsa tercampak lebih kurang 13 meter di bawah lereng bukit.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai atau saksi bebas diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: