X

Kindly register in order to view this article
!

Polis laksana operasi pemandu kenderaan perdagangan warga asing

Operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik bersama Balai Polis Serdang bermula jam 4 sehingga jam 8 pagi.
A
A

SERDANG - Polis melaksanakan Operasi Khas Perdagangan terhadap pengguna jalan raya warga asing yang melanggar undang-undang di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, operasi itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik bersama Balai Polis Serdang bermula jam 4 sehingga jam 8 pagi.

"Peringkat permulaan kita mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pemeriksaan di hadapan pintu masuk utama ke kawasan pasar itu.

"Fokus pada hari pertama operasi ini adalah untuk mengesan kemasukan kenderaan perdagangan yang dipandu oleh warga asing tanpa dokumen perjalanan sah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Razali berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat warga asing yang membawa kenderaan perdagangan dan persendirian sama ada bekerja atau ingin membeli dan menjual barang basah memasuki kawasan pasar berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, kita mengesan empat kenderaan yang dipandu oleh warga asing dari Myanmar dan Aceh (Indonesia) ingin memasuki kawasan pasar.

"Mereka tidak mempunyai lesen memandu dan atas kesalahan yang dilakukan, kita menyita kenderaan serta mengeluarkan saman," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu itu memberikan pelbagai alasan termasuk diarahkan oleh majikan untuk membawa masuk barang basah.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang melakukan apa juga kesalahan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Menurutnya, seramai 72 individu dan 64 buah kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut.

"Secara keseluruhan, kita mengeluarkan 10 saman terhadap kesalahan tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, muatan berlebihan dan tidak mempunyai lesen kenderaan perdagangan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati polis turut menasihatkan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 terutama di kawasan pasar yang menjadi tumpuan umum.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!