Sampel tertunggak, saringan besar-besaran punca kes tinggi di Tawau

Perkeso yang menjalankan ujian saringan besar-besaran terhadap pekerja ladang dan kilang termasuk di Kalabakan sejak dua minggu lepas juga menjadi sebab peningkatan kes di Tawau. - Foto Bernama
Perkeso yang menjalankan ujian saringan besar-besaran terhadap pekerja ladang dan kilang termasuk di Kalabakan sejak dua minggu lepas juga menjadi sebab peningkatan kes di Tawau. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Keputusan sampel tertunggak baharu diterima dan program saringan besar-besaran Covid-19 yang dijalankan merupakan sebab utama Tawau menjadi daerah merekodkan kes baharu tertinggi Covid-19 di Sabah sejak lima hari berturut-turut terbaharu 24 kes pada Jumaat.

Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata, terdapat lebih 800 keputusan sampel tertunggak diterima pihaknya sejak seminggu lalu, yakni sampel yang dihantar ke makmal di luar daerah Tawau untuk diproses.

Beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menjalankan ujian saringan besar-besaran terhadap pekerja ladang dan kilang termasuk di Kalabakan sejak dua minggu lepas juga menjadi sebab peningkatan kes itu.

"Program saringan pekerja dijalankan oleh Perkeso melalui klinik panel, manakala Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau pula bertindak menyaring kontak rapat pekerja yang didapati positif Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita di Klinik Kesihatan Tawau di sini pada Jumaat.

Navindran berkata, pengurusan ladang di sini disaran menyediakan pusat kuarantin, ambulan dan kemudahan kesihatan lain dalam usaha membendung penularan Covid-19 terutama dalam kalangan pekerja mereka.

Katanya, fasiliti itu amat penting memandangkan ladang-ladang berkenaan terletak jauh dari bandar Tawau dengan jarak lebih 100 kilometer dan lokasi ladang juga sukar ditemui. - Bernama

Artikel Berkaitan: