Penduduk Pasir Puteh takut Covid-19

Dari kanan: Hishamuddin dan Mohd Kamarulzaman membuat tinjauan di Pasar Siti Hajar menerusi Operasi Task Force Covid-19 pada Sabtu.
Dari kanan: Hishamuddin dan Mohd Kamarulzaman membuat tinjauan di Pasar Siti Hajar menerusi Operasi Task Force Covid-19 pada Sabtu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Ketakutan penduduk di jajahan ini terhadap serangan 'menggila' Covid-19 dapat dilihat apabila mereka mulai patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan menerusi perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 16 Januari lalu.

Tinjauan Sinar Harian menerusi Operasi Task Force Covid-19 di Pasar Siti Hajar dan borong mendapati peniaga lebih 'ramai' daripada pelanggan.

Sementara kawasan rekreasi di Pantai Bisikan Bayu dan Tok Bali juga mendapati lokasi yang sering menjadi tumpuan itu sepi.

Catatan harian kes baharu di negeri ini yang mencecah lebih 100 menghadirkan rasa 'gerun' kepada masyarakat tambahan Pasir Puteh masih berada dalam zon merah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab berkata, rakyat lebih patuh apabila setiap hari pasukan Task Force Covid-19 akan terus bergerak ke seluruh jajahan ini setiap masa untuk melakukan pemantauan pematuhan SOP.

"Pasukan ini kita wujudkan sejak pandemik Covid-19 tercetus pada tahun lalu dalam usaha memutuskan rantaian itu menerusi pematuhan SOP," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pematuhan SOP di Pasar Siti Hajar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah MKN Kelantan, Hishamuddin Ab Rashid.

Menurutnya, selain Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), pasukan Task Force itu turut di sertai oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela).

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat di Pasir Puteh.

"Jika rmereka terus patuh SOP tidak mustahil Pasir Puteh akan kembali menjadi zon hijau tidak lama lagi," katanya.

Mohd Kamarulzaman berkata, bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan proses nyah kuman sentiasa dilakukan di kawasan tumpuan ramai terutama pasar.

"Kerja-kerja tersebut dipantau oleh JBPM bagi memastikan proses itu mengikut SOP," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lima kawasan rekreasi dan peranginan ditutup sementara kepada orang ramai di jajahan ini selaras arahan PKP.

"Ia membabitkan Pantai Bisikan Bayu, Pantai Tok Bali, Pantai Dalam Rhu, Jeram Pasu dan Jeram Mengaji," katanya.