X

Kindly register in order to view this article
!

Kes SRC Najib: Pertukaran hakim amalan biasa, kata PKPMP

Mohd Nazlan
A
A

SHAH ALAM - Pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke Mahkamah Sivil merupakan amalan biasa bagi mana-mana hakim.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dalam satu kenyataan pada Sabtu turut mengesahkan pertukaran itu.

Menurutnya, pertukaran Mohd Nazlan ke Mahkamah Sivil adalah bagi menggantikan Hakim Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin yang akan bersara.

"PKPMP mengesahkan mengenai pertukaran Hakim Mohd Nazlan Mohd Mohd Ghazali dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCVC 2) berkuat kuasa 1 Mac 2021.

"Mohd Nazlan sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Komersial sebelum berpindah ke Mahkamah Tinggi Jenayah dan beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam hal-hal berkaitan kes sivil dan komersial.

"Selain itu, kes-kes di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 hanya tinggal lebih kurang dalam 30 kes sahaja dan mahkamah tersebut boleh ditutup," katanya.

Katanya, sebarang kes jenayah yang telah didengar oleh Mohd Nazlan akan diterus didengar oleh beliau sehingga selesai, walaupun selepas tarikh kuat kuasa pertukaran pada 1 Mac nanti.

Terdahulu, arahan pertukaran Mohd Nazlan yang menjatuhkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan kes SRC International dikeluarkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed berkuat kuasa 1 Mac ini.

Perkara itu dimaklumkan kepada semua anggota Majlis Peguam dalam pekeliling dikeluarkan pada Jumaat.

Selain kes SRC International, Mohd Nazlan juga masih perlu mendengar dan memutuskan beberapa kes berprofil tinggi membabitkan Najib sebelum pemindahannya pada 1 Mac ini.

Ia antaranya kes lucut hak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$340 juta ke atas PetroSaudi International Limited dan empat lain.

Beliau juga dijangka menyampaikan penghakiman pada 3 Februari ini bagi kes perbicaraan yang melibatkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sembilan pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!