MOM yakin Sukan Olimpik berlangsung ikut jadual

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) yakin temasya Sukan Olimpik Tokyo (Tokyo 2020) akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos tahun ini, kata Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai kesediaan dan persiapan rapi yang dilakukan oleh kerajaan Jepun menerusi panggilan persidangan dengan rakan sejawatnya Yamashita Yasuhiro dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach, pada Jumaat.

Menerusi panggilan itu, Mohamad Norza berkata beliau turut dimaklumkan bahawa rakan penganjur juga berusaha untuk memastikan penganjuran temasya itu selamat dan terjamin bukan sahaja kepada atlet dan pegawai tetapi juga kepada masyarakat setempat.

“Kami sentiasa bersama dengan IOC dan rakan sejawat kami dari Jepun dan berharap dapat turut serta dalam temasya itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Norza berkata MOM juga sedang dalam perbincangan dengan IOC berhubung vaksinasi kontinjen negara ke Sukan Olimpik.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kesediaan IOC menyokong penglibatan MOM dengan kerajaan Malaysia mengenai perkara berkenaan.

“Kami akan meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam memastikan semua atlet dan pegawai dapat menumpukan perhatian kepada latihan serta persiapan dalam suasana yang selamat,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: