Kecemerlangan PH di Selangor mampu beri kemenangan di Semenyih

Azmin Ali
Azmin Ali
A
A
A

SUBANG - Prestasi cemerlang PH di Selangor diyakini dapat mengekalkan penguasaan pakatan itu di Semenyih pada pilihan raya kecil (PRK) Dun berkenaan walaupun terdapat kerjasama BN dan Pas.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berdasarkan pencapaian pentadbiran di Selangor ketika beliau menjadi menteri besar, rakyat amat berpuas hati dengan prestasi PH.

"Selama empat tahun saya di Selangor, rakyat di negeri ini ternyata gembira dengan beberapa insiatif yang diusahakan oleh kerajaan negeri.

"Saya kira PH sudah buktikan bahawa pembangunan di Selangor beri manfaat kepada semua rakyatnya.

"Malah pada PRU, 9 Mei tahun lalu, kita juga mendapat kemenangan besar di Selangor dan ini membuktikan rakyat berpuas hati dengan usaha kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi Tea Pimpinan bersama Srikandi PKR di Hotel Empire.

Beliau berkata, setiap ahli PKR perlu menjalinkan hubungan baik dengan seluruh pengundi Dun Semenyih bagi memastikan mereka dapat bersama-sama menyokong PH dalam PRK pada 2 Mac depan.

Malah beliau juga akan turut bersama-sama berkampung di Semenyih walaupun baharu sahaja selesai menjalani pembedahan baru-baru ini.

"Semua pihak perlu kembali dan turun padang agar semua pengundi dapat bersama-sama PH pada kali ini,"

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Adun Semenyih meninggal dunia

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Dalam perkembangan lain, Azmin yang baharu sahaja menjalani pembedahan turut mendedahkan bahawa keadaan kesihatannya kini semakin baik walaupun berat badannya berkurang sebanyak 10 kilogram.

Beliau berkata, walaupun doktor telah memberi cuti kepadanya sehingga 1 Mac depan, namun beliau telah mula masuk bekerja semalam bagi menyelesaikan beberapa tugasan yang mendesak.

"Saya ingin segera kembali bertugas untuk tumpu soal ekonomi negara di samping memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik kerana keadaan pada masa kini memerlukan semua pihak bekerja sebagai satu pasukan,"katanya.