Annuar wajar contohi inisiatif Kerajaan Negeri Selangor: Lip Eng

Lim Lip Eng
Lim Lip Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Pakej Kita Selangor yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bernilai RM73.877 juta itu wajar dicontohi oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk membantu rakyat yang sedang mengharungi cabaran hidup ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Annuar mempunyai kuasa dan kapasiti untuk melancarkan program seumpama itu dengan menggunakan dana yang disimpan dalam deposit tetap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan keperluan asas terutama kepada golongan warga emas, golongan yang kurang berkemampuan, gelandangan dan petugas barisan hadapan.

“Saya juga menyarankan Annuar untuk membeli 5 juta dos vaksin Covid-19 khas untuk warga Kuala Lumpur, sama seperti perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membeli dos vaksin tersebut dengan jumlah yang sama.

“Selain membantu kurangkan beban yang ditanggung oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Persekutuan membendung penyebaran wabak itu, ia juga mempercepatkan usaha kerajaan memastikan 80 peratus rakyat Malaysia divaksinkan menjelang tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Annuar Musa
Annuar Musa

Mengulas lanjut, Lip Eng berkata, jika 5 juta dos vaksin angka yang mustahil bagi Menteri Wilayah Persekutuan itu, sekurang-kurangnya 50,000 dos vaksin dapat dibeli dan diberi kepada para petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur yang sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan wabak itu.

Katanya, hal demikian kerana Kuala Lumpur adalah antara negeri yang tinggi kes Covid-19 dan memerlukan perlindungan berbentuk vaksin yang perlu diberikan dengan kadar segera.

“Antara perkara utama yang perlu difokuskan sekarang bukanlah pembangunan atau projek baharu tetapi kebajikan rakyat yang terabai akibat pandemik Covid-19 dan juga perlindungan dari wabak itu,” katanya.

Artikel Berkaitan: