Guru sekolah disahkan positif Covid-19

Seorang guru di sebuah sekolah menengah di daerah ini disahkan positif Covid-19 pada Selasa lalu. - Gambar hiasan
Seorang guru di sebuah sekolah menengah di daerah ini disahkan positif Covid-19 pada Selasa lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

TAMPIN - Seorang guru di sebuah sekolah menengah di daerah ini disahkan positif Covid-19 pada Selasa lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan bagaimanapun berkata, guru berkenaan belum bertemu secara bersemuka dengan pelajar di sekolahnya.

Beliau berkata, guru tersebut disahkan positif pada 19 Januari lalu iaitu sehari sebelum sesi persekolahan bermula.

Sebaik sahaja disahkan positif, katanya, guru berkenaan telah dikuarantin sebelum beberapa kontak rapat kepada guru tersebut di sekolah juga telah disaring dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Setakat hari ini (Sabtu), hanya guru itu seorang sahaja yang positif, lain-lain individu semuanya disahkan negatif Covid-19.

"Sekolah juga telah disanitasi. Atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah Tampin, sekolah itu tidak ditutup dan boleh beroperasi seperti biasa disebabkan guru tersebut tidak berjumpa lagi dengan pelajarnya di Tingkatan Lima dan Enam.

"Sekolah berada dalam keadaan selamat, ibu bapa tidak perlu bimbang dan panik dengan kejadian ini, malah semua langkah keselamatan juga telah diambil oleh pihak sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau sehubungan itu berkata, ibu bapa tidak perlu risau untuk menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekolah berkenaan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, malah langkah-langkah keselamatan turut diambil bagi memastikan pelajar dan guru supaya tidak dijangkiti.

"Kita selalu nasihatkan kepada semua pelajar dan guru agar sentiasa memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan jaga penjarakkan fizikal antara satu sama lain bagi memastikan keselamatan mereka terus terjamin," katanya.