Menyamar Exco pinjam wang

Shahrul Zaman memuatnaik tangkap layar gambar yang dipercayai digunakan ‘scammer’ yang menyamar dirinya untuk meminjam wang. - Foto ihsan FB Sharul Yahya
Shahrul Zaman memuatnaik tangkap layar gambar yang dipercayai digunakan ‘scammer’ yang menyamar dirinya untuk meminjam wang. - Foto ihsan FB Sharul Yahya
A
A
A

IPOH - Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan mesej yang menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang.

Menurutnya, beliau menyedari perkara itu selepas dihubungi seorang kenalannya yang menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

"Ada lima rakan mendapat mesej sama daripada 'scammer' itu dengan dua daripadanya hampir mahu membuat transaksi wang tetapi mereka bertindak menghubungi saya terlebih dahulu.

“Nombor telefon yang digunakan bukan milik saya tetapi dia menggunakan gambar saya sebagai 'profile' dan turut meletakkan nombor sebenar saya sebagai nombor kedua di aplikasi itu," katanya di sini pada Sabtu.

Sharul Zaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup turut memuat naik penjelasan menafikan perkara itu di Facebook miliknya.

Katanya, beliau kecewa dengan tindakan ‘scammer’ itu yang boleh mencemarkan imej beliau sebagai wakil rakyat dan pemimpin negeri.

"Saya kesal apabila individu itu turut menjanjikan projek berkaitan belia dan sukan sekiranya mereka memberikan wang itu.

"Saya berharap tiada lagi yang tertipu dengan taktik individu itu dan semua masyarakat juga diminta berhati-hati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, beliau berkata, rakannya itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bercham, Ipoh untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintendan Hasbullah Abd Rahman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan tersebut

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu,” katanya.