Tukang gunting rambut 'oncall' dikhuatiri tingkat kes Covid-19

MBBA
MBBA
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan gunting rambut secara bergerak atau 'house oncall' dibimbangi akan menyebabkan risiko jangkitan Covid-19 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), T N Winda Mohd Tahir berkata, perkhidmatan itu terpaksa diwujudkan ekoran langkah kerajaan yang tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pihaknya tidak mampu menghalang perkara itu, tetapi dalam masa sama amat bimbang dengan situasi berkenaan.

“Ada segelintir mereka yang melakukan 'oncall' ini tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berbanding beroperasi dari kedai.

“Jadi kelonggaran perlu diberikan kepada pemilik kedai gunting rambut untuk beroperasi memandangkan tiada kluster baharu membabitkan kedai gunting rambut direkodkan selepas SOP dikeluarkan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, semakin ramai pemilik kedai gunting rambut yang bakal gulung tikar kerana tidak dibenarkan beroperasi susulan pelaksanaan PKP sejak 13 Januari lalu.

"Mereka tidak mampu bayar sewa premis kerana tiada sumber pendapatan dan bantuan khusus daripada kerajaan.

"Sewa premis perlu dibayar ketika tiada sumber pendapatan lain. Tiada bantuan khusus, kami tiada pilihan. Kami ada keluarga dan tanggungjawab lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Winda berkata, kerajaan disaran menilai kembali keputusan tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

Katanya, setiap keputusan yang dibuat perlu adil tanpa merugikan mana-mana pihak memandangkan majoriti industri sedang berusaha untuk bangkit daripada kesan PKP tahun lalu.

“Persatuan masih menanti maklum balas daripada Majlis Keselamatan Negara selepas surat rayuan pertimbangan untuk beroperasi dihantar baru-baru ini.

"Kami berharap keputusan positif dapat diberikan secepat mungkin kerana kami tidak mampu bertahan untuk tempoh lebih lama.

"Pengusaha gunting rambut juga sudah membuktikan tahap kepatuhan SOP yang tinggi dan memastikan kebersihan premis sentiasa menjadi keutamaan," katanya.