Air Sungai Tebrau tercemar mengalir ke Singapura

Penduduk mengutip sampah sarap di Sungai Tebrau, Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang pada Sabtu.
Penduduk mengutip sampah sarap di Sungai Tebrau, Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Masalah air Sungai Tebrau di sini yang tercemar dengan sampah sarap perlu diatasi segera.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kotoran berkenaan juga akan mengalir masuk ke perairan negara jiran, Singapura setiap kali air pasang sekali gus memberi imej buruk terhadap Malaysia.

Hassan menunjukkan sampah sarap di Sungai Tebrau, Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang yang masuk ke perairan Singapura pada Sabtu.
Hassan menunjukkan sampah sarap di Sungai Tebrau, Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang yang masuk ke perairan Singapura pada Sabtu.

Beliau berkata, walaupun republik itu tidak pernah menegur atau mengambil tindakan undang-undang, jabatan atau agensi berkaitan di negeri ini perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

Menurutnya, kedudukan sungai tersebut dipisahkan dengan Selat Tebrau yang jaraknya kira-kira lima kilometer dengan Singapura.

"Setiap kali air pasang, semua sampah akan hanyut dibawa ke Selat Tebrau sebelum masuk ke kawasan Singapura iaitu perairan antarabangsa. Masalah pencemaran ini sudah berlarutan lebih 10 tahun, sampah dibuang dan airnya pula tercemar.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri perlu memainkan peranan membersihkan serta mendalamkan sungai termasuk mengambil contoh kandungan airnya untuk mengetahui tahap pencemarannnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan keperluan asas kepada penjaja dan meninjau kawasan Sungai Tebrau di Kampung Plentong Baru di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak seharusnya lepas tangan kerana perairan itu berada antara kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Artikel Berkaitan:

"Saya juga mencadangkan supaya JAS negeri untuk berbuat sesuatu seperti membeli alat perangkap sampah di sungai ini. Jika mereka tidak ada duit, minta peruntukan daripada kementerian dan kerajaan Pusat," katanya.

Pada tahun 2019, katanya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pernah merancang membeli dua buah bot yang lengkap dengan teknologi menyedut sampah berharga RM3 juta bagi tujuan pembersihan Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.

Sementara itu, katanya, penduduk di kampung dan semua kilang di sepanjang jajaran sungai tersebut perlu memainkan peranan serta mempunyai sikap tanggungjawab bagi memastikan sungai terbabit sentiasa bersih.

Menurutnya, penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu mencontohi penduduk dan NGO di Singapura yang secara sukarela membersihkan sungai dan persisiran pantai negara mereka.