'Saya tolong dia sebab dulu saya pun biasa tidur di stesen bas...'

Cheng Seng sedang mengajar Lester Mohd menggunakan sistem pam minyak di Stesen Minyak Caltex Bachang, di sini, pada Sabtu.
Cheng Seng sedang mengajar Lester Mohd menggunakan sistem pam minyak di Stesen Minyak Caltex Bachang, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Pengalaman pernah hidup miskin suatu masa dahulu mendorong pengurus di sebuah stesen minyak di sini untuk membantu seorang gelandangan mendapatkan pekerjaan.

Kisah Lee Cheng Seng, 50, membantu seorang gelandangan dari Beaufort, Sabah dikenali sebagai Lester Mohd Sufian, 40, tular di media sosial dan mendapat respons positif daripada netizen, sejak Jumaat.

"Saya sekarang bekerja sebagai pengurus sumber manusia di Stesen Minyak Hong Brothers. Saya pernah hidup dalam kemiskinan hingga terpaksa berhenti sekolah ketika di Tingkatan Dua. Saya juga pernah rasa tidur di stesen bas akibat kesempitan hidup.

"Dengan nasib yang pernah saya alami, hati saya tergerak untuk menolong Lester yang datang ke stesen minyak ini yang terletak di Jalan Tun Perak, Bachang, pada minggu lalu untuk mencari kerja. Selepas temuduga, saya tanya kepada dia mahu pulang ke mana dan dia beritahu cuma tidur di stesen bas.

"Mendengar jawapan dia, hati menjadi sebak kerana saya pernah merasai peritnya tidur di stesen bas akibat kesempitan hidup," luahnya.

Cheng Seng bersama Lester Mohd yang merupakan seorang gelandangan namun diambil bekerja di stesen minyak itu.
Cheng Seng bersama Lester Mohd yang merupakan seorang gelandangan namun diambil bekerja di stesen minyak itu.

Cheng Seng yang berasal dari Bukit Palah, di sini, menerima Lester bekerja di stesen minyak milik keluarga isterinya iaitu Stesen Minyak Caltex Bachang.

Selain memberikan pekerjaan, Cheng Seng juga membantu Lester mendapatkan bilik kediaman untuk berteduh.

Artikel Berkaitan:

"Saya bertanya kepada pekerja yang lain jika ada bilik kosong untuk dia tinggal dan salah seorang daripada mereka beritahu saya terdapat bilik kosong yang boleh didiami olehnya. Kemudian saya membawa dia membeli beberapa keperluan seperti pakaian dan kasut untuk memudahkan dia bekerja.

"Kebaikan yang saya lakukan ini bukan untuk menunjuk atau membangga diri. Cukuplah sekadar saya mengajak orang lain menyebarkan kebaikan lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini. Ramai insan terjejas dan bantulah mereka dengan ikhlas," katanya yang mempunyai dua orang anak.

Sementara itu, Lester berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan majikan berhati bersih seperti Cheng Seng yang sudi memberikannya pekerjaan malah membantunya mencari tempat berteduh untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki di Melaka.

"Sudah lebih sebulan saya tidur di merata tempat di Klang, Selangor termasuk di bawah jambatan kerana tidak ada duit. Kemudian saya ambil keputusan untuk mencari pekerjaan di Melaka.

"Pada asalnya, saya berhasrat nak cari kerja di Pulau Pinang tetapi duit yang saya ada cuma cukup untuk saya membeli tiket bas ke Melaka. Namun takdir sangat indah apabila saya ditemukan dengan seorang insan baik hati yang akhirnya membantu saya," ujar lelaki itu tulus.