KPM perlu dapatkan peruntukan khas laksana PdPR: Hassan

Hassan menyampaikan bantuan barang keperluan asas kepada peniaga, Mohd Khairy Masnor di Taman Desa Harmoni, Plentong, Pasir Gudang pada Sabtu.
Hassan menyampaikan bantuan barang keperluan asas kepada peniaga, Mohd Khairy Masnor di Taman Desa Harmoni, Plentong, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mendapatkan peruntukan khas melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kerajaan boleh menyediakan dana itu melalui Belanjawan 2021 untuk memastikan pelaksanaan PdPR berjaya sekali gus menepati objektifnya.

"Kerajaan ada duit bukan tidak ada duit. Kalau tidak ada peruntukan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin boleh minta luluskan peruntukan khas pendidikan di Parlimen dan ahli-ahli Parlimen akan sepakat luluskannya.

"Namun ketika ini Parlimen digantung jadi macam mana ahli-ahli Parlimen mahu membincangkannya? Kalau tak setiap Selasa dan Khamis di Parlimen kita boleh tanya atau cadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Mohd Radzi dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

"Peruntukan khas itu boleh digunakan untuk menampung kos perbelanjaan membeli peranti seperti komputer riba atau telefon pintar selain menyediakan kemudahan akses internet kepada pelajar terutama keluarga B40 atau M40," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bekalan keperluan asas kepada penjaja dan meninjau sampah sarap di Sungai Tebrau, Kampung Plentong Baru di sini pada Sabtu.

Hassan mengulas rungutan beberapa pihak berkenaan pelaksanaan PdPR semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya guru dan pelajar masih belum sedia, ketidakmampuan ibu bapa menyediakan peranti serta masalah data dan capaian internet.

Beliau berkata, tanggungjawab itu perlu diselesaikan kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab perlu mencari jalan merungkai permasalahan tersebut dan bukan terus berdiam diri.

Artikel Berkaitan:

"Masalah rakyat semasa PKP bukan sahaja makan minum tetapi juga isu pendidikan. Kerajaan luluskan peruntukan RM35 juta untuk bina tiga dewan (di Pagoh) baru-baru ini walaupun kawasan itu dah ada empat dewan. Jadi tidak timbul masalah peruntukan," katanya.

Selain itu katanya, pihak korporat dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu dengan mengumpulkan dana menampung kos membeli peranti terutama untuk keluarga yang tidak berkemampuan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan usaha dilakukan KPM sebagai persediaan jangka panjang berdepan masalah penutupan sekolah akibat Covid-19 dan kaedah melaksanakan PdPR dengan berkesan.

"Kalau masa tahun pertama kita memang kelam-kabut tetapi sekarang kita sudah masuk tahun kedua berdepan Covid-19. Saya nak tanya apa persiapan dibuat KPM dalam setahun untuk laksanakan pendidikan digital, apa perancangan yang dibuat?

"Jawapannya tidak ada. Apa software atau perisian, program dan aplikasi yang ada untuk digunakan dari Tahun Satu hingga Enam dan software Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima? Adakah guru dilatih dan diberi kursus untuk menjalankan pendidikan digital," soalnya.