Harga cili merah mula turun: Menteri

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga cili di pasaran termasuk cili merah kulai, cili merah minyak dan cili akar mula menunjukkan penurunan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, sebagai contoh, harga purata cili merah kulai pada Disember 2020 adalah RM23 sekilogram (kg), namun minggu ini turun sebanyak 17 peratus kepada RM19 per kg.

Katanya, peningkatan harga sayur-sayuran seperti cili disebabkan oleh perubahan musim yang melanda negara dan faktor perubahan cuaca terlampau sejuk di daerah tanah tinggi pengeluar bekalan utama seperti di Cameron Highlands.

"Keadaan cuaca ini telah menyebabkan kualiti dan kuantiti sayur-sayuran berkurangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu susulan lawatan mengejut ke pusat pengumpulan sayur (jenis tanaman cili merah) di Telok Panglima Garang, Selangor pada Jumaat.

Nanta berkata, penanaman cili di Malaysia amat dipengaruhi elemen cuaca, jenis tanah dan pasir dengan nilai Ph5.5-6.5 dan tahap kelembapan yang sederhana.

Menurut beliau, luas fizikal ladang cili di Malaysia ialah 576.85 hektar dengan 204.45 hektar daripadanya adalah cili kulai.

"Penggunaan cili oleh pengguna Malaysia dianggarkan kira-kira 0.006 kg seorang sehari, 0.17 kg sebulan dan 2 kg setahun. Keperluan untuk setahun bagi 32.73 juta rakyat Malaysia ialah 65.46 juta kg," katanya.

Beliau berkata, satu perbincangan akan diadakan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengenai langkah strategik dan progresif untuk meningkatkan keupayaan petani cili tempatan daripada 45 peratus kepada satu tahap menguntungkan petani dan pengguna dari segi harga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nanta berkata, sebanyak 320 premis peruncit dan pembekal telah diperiksa dalam Op Pasar 2021 (sayur-sayuran) yang dijalankan pada 12 hingga 21 Jan lepas.

"Sebanyak 337 notis bertulis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk memantau aduan dan dakwaan kenaikan harga dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan," katanya.

Selain cili, katanya, harga bawang merah turut dijangka turun tidak lama lagi berikutan India telah mengeksport semula bahan itu dan telah tiba di pelabuhan Malaysia. - Bernama