Pertahanan Liverpool tidak berubah berdepan Manchester United

Klopp
Klopp
A
A
A

PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp menegaskan tidak ada sebarang perubahan akan berlaku pada benteng pertahanan skuad kendaliannya itu menjelang aksi pusingan keempat Piala FA Inggeris berdepan Manchester United di Old Trafford, pada awal pagi Isnin,

Menurut Klopp setakat ini dijangka tidak berlaku sebarang perubahan seperti kehadiran pemain pertahanan tengah baharu yang bakal menyertai skuad The Reds itu menjelang tarikh akhir perpindahan pemain bagi bulan Januari.

Malah katanya, biarpun kehadiran pemain pertahanan tengah itu amat diperlukan oleh The Reds ketika ini, namun baginya apa yang lebih penting adalah untuk pemain memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan meningkatkan mutu permainan masing-masing.

“Kita tidak pernah membincangkan mengenai perpindahan pemain seperti ini kerana ia seakan cuba untuk memberikan alasan kepada prestasi buruk pasukan setakat ini.

“Apa yang perlu dilakukan adalah untuk meningkatkan ‘persembahan’ kita dan bukannya hanya berdiam diri dengan rasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku setakat ini.

“Pastinya, kita akan tahu apa yang perlu dilakukan, cuma yang penting kita perlu berdepan dengan situasi berkenaan,” katanya.

Liverpool kini berada dalam prestasi terburuk dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi tempoh empat tahun sejak kebelakangan ini di mana menyaksikan skuad The Reds itu gagal mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan terdahulu selain gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan.

Terbaru, Liverpool tewas 0-1 kepada Burnley di Anfield yang sekali gus turut meranapkan rekod tanpa kalah mereka dalam 68 perlawanan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Klopp berkata, dia tidak akan kecewa sekiranya skuad kendaliannya itu gagal membawa masuk pemain pertahanan tengah baharu Januari ini.

“Saya bukannya budak berusia lima tahun yang akan menangis bila gagal mendapatkan sesuatu yang diinginkan; lagipun saya memang tidak pernah mendapatkan apa yang saya inginkan dalam hidup saya selama ini.

“Mengenai perpindahan (kemasukan) pemain, bagi saya tiada yang akan berubah dan saya bertanggungjawab untuk sebahagian besar kelab ini tetapi ada pihak yang bertanggungjawab secara keseluruhannya,” katanya.