Covid-19: Satu kes dalam komuniti babitkan wanita Malaysia di Singapura

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan seorang wanita Malaysia berusia 26 tahun adalah kes baharu tunggal jangkitan tempatan Covid-19 yang dilaporkan di republik itu pada Jumaat.

Menurut data penuh dikeluarkan MOH lewat malam tadi, wanita yang dilabel sebagai Kes 59522 itu adalah seorang petugas bahagian pemasaran di BS Industrial & Construction Supply Pte Ltd.

Kementerian itu memaklumkan bahawa wanita berkenaan adalah rakan sekerja kepada Kes 59429, seorang lelaki Pemastautin Tetap Singapura berusia 39 tahun yang juga seorang petugas bahagian pemasaran di tempat sama.

Lelaki berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 18 Januari, menurut MOH.

Kementerian memaklumkan wanita Malaysia itu telah dikuarantin pada 18 Januari selepas Kes 59429 didapati positif Covid-19, dan wanita itu juga menjalani ujian saringan pada 20 Januari walaupun tidak bergejala.

“Hasil ujian mendapati beliau positif pada keesokan harinya dan telah dihantar ke Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Ujian serologinya didapati negatif, menunjukkan yang ia adalah jangkitan semasa,” menurut MOH.

Beliau adalah sebahagian daripada kluster Kes 59429 yang kini mempunyai lapan kes disahkan termasuk empat lagi rakyat Malaysia.

Sehingga kini, terdapat enam kluster di republik itu.

Artikel Berkaitan:

Setakat 12 tengah hari Jumaat, Singapura merekodkan 15 kes baharu iaitu 14 kes import dan satu jangkitan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,250 kes.

Satu daripada 14 kes import membabitkan seorang lelaki Singapura berusia 61 tahun yang pulang dari Malaysia dan mempunyai gejala. - Bernama