'Tengok anak sendiri, terbayang keadaan keluarga ini'

Laporan Sinar Harian mengenai tiga beradik yang terpaksa berkongsi satu telefon bimbit mendapat perhatian Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Razlan Rafii.
Laporan Sinar Harian mengenai tiga beradik yang terpaksa berkongsi satu telefon bimbit mendapat perhatian Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Razlan Rafii.
A
A
A

RAWANG - Kesukaran tiga beradik berkongsi satu telefon bagi mengikuti kelas dalam talian menarik perhatian Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Razlan Rafii yang tampil menghulurkan bantuan.

Keluarga berkenaan menerima sumbangan komputer riba kurang 24 jam laporan Sinar Harian 'Tiga beradik kongsi satu telefon ikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)' pada Jumaat.

Mohd Razlan menyerahkan sendiri set kelengkapan belajar berserta peranti internet di rumah keluarga berkenaan di Rawang Putra sekitar jam 7 petang.

Mohd Razlan menerusi perkongsian di Facebooknya sebentar tadi memaklumkan, beliau terkenangkan nasib keluarga tersebut yang tiada akses kelengkapan belajar ketika melihat anaknya, Rayyan mengikuti kelas pembelajaran.

Mohd Razlan (kanan) mengunjungi keluarga berkenaan selepas membaca laporan Sinar Harian mengenai kesukaran mengikuti kelas dalam talian disebabkan tiada kelengkapan gajet.
Mohd Razlan (kanan) mengunjungi keluarga berkenaan selepas membaca laporan Sinar Harian mengenai kesukaran mengikuti kelas dalam talian disebabkan tiada kelengkapan gajet.

"Pagi tadi, Rayyan ada kelas belajar, fikir anak saya, terfikir cerita Sinar Harian. Satu keluarga yang tidak punyai kelengkapan untuk belajar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik kongsi satu telefon ikuti PdPR

"Setiap keluarga itu ada impian, impian untuk menyediakan pendidikan untuk anak-anak," katanya.

Kongsinya lagi, salah seorang daripada tiga beradik itu bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua yang lain berada di Tingkatan Satu dan Tiga.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini tidak ada komputer. Apabila diajukan soalan, pandai ke guna komputer riba ini, dengan segan silu menjawab 'tak pernah pegang komputer'.

"Tersentuh hati apabila membayangkan berapa ramai lagi keluarga yang berada dalam keadaan ini.

"Kita tidak boleh bantu semua, namun kita bantulah setakat yang kita mampu. Semoga keluarga ini dapat manfaat dari sumbangan ini," katanya.

Set kelengkapan belajar sumbangan Mohd Razlan.
Set kelengkapan belajar sumbangan Mohd Razlan.

Sinar Harian melaporkan yang ibu kepada tiga beradik itu, Nor Munirah Mohd Nadzie, 37, terpaksa memaklumkan kepada guru bahawa anaknya terpaksa keluar dari kelas online bagi memberikan anak-anak yang lain mengikuti kelas secara giliran.

Keadaan itu menyebabkan anak-anaknya banyak ketinggalan pelajaran selain terpaksa mengharapkan bantuan guru untuk kemas kini arahan selanjutnya menerusi grup WhatsApp.

Sementara itu, Nor Munirah meluahkan kesyukuran selepas perkongsiannya berhubung masalah anak-anaknya mengikuti PdPR mendapat perhatian.

"Saya rasa lega memandangkan anak saya bakal ambil SPM tahun ini. Bantuan ini sangat membantu anak-anak saya ikuti kelas.

"Sebenarnya, perkongsian saya bukanlah mengharapkan bantuan, tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman kesusahan dengan kaedah PdPR ini," katanya.

Nor Munira berterima kasih kepada Mohd Razlan yang prihatin dengan kesusahan keluarganya.

"Saya tak sangka, kami baru berhubung jam 1 tengah hari dan jam 7 petang beliau bagi tahu sudah sampai di rumah saya untuk beri bantuan.

"Harap bantuan ini memberikan suntikan semangat buat anak-anak saya untuk terus berusaha dan berjaya dalam pelajaran, " katanya.

Mohd Razlan (dua dari kanan) mengunjungi keluarga berkenaan selepas membaca laporan Sinar Harian mengenai kesukaran mengikuti kelas dalam talian disebabkan tiada kelengkapan gajet.
Mohd Razlan (dua dari kanan) mengunjungi keluarga berkenaan selepas membaca laporan Sinar Harian mengenai kesukaran mengikuti kelas dalam talian disebabkan tiada kelengkapan gajet.