Lemas dalam loji: Polis rakam keterangan ibu mangsa

Mayat kanak-kanak berusia enam tahun ditemui di loji Taman Sejahtera, Kepong, selepas dikatakan hilang selama dua hari sebelum kejadian.
Mayat kanak-kanak berusia enam tahun ditemui di loji Taman Sejahtera, Kepong, selepas dikatakan hilang selama dua hari sebelum kejadian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merekod keterangan seorang wanita berusia 28 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya berusia enam tahun yang ditemui lemas di loji kumbahan di Taman Sejahtera, Kepong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, keterangan ibu mangsa telah direkod di Balai Polis Jinjang pada malam hari kejadian.

Menurutnya, tiada tangkapan atau penahanan dibuat, namun polis akan memanggil semula wanita itu sekiranya ada keperluan untuk siasatan lanjut.

“Mangsa dilapor telah hilang sejak dua hari lalu dan sepatutnya ibu mangsa bertanggungjawab selepas kehilangan itu. Kita juga dalam proses untuk merakam keterangan bapa mangsa.

“Polis juga akan membuat ujian saringan air kencing sama ada wanita terbabit terbabit dalam penyalahgunaan dadah atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, buat masa ini tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit.

Katanya, pihaknya telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian serta mendapatkan keterangan daripada penduduk untuk melengkapkan siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari, mayat Amirul Hazi Kamal Zuhaiza ditemui pekerja loji kumbahan sebelum ia dimaklumkan kepada penduduk berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, mangsa dan keluarganya menetap di Flat Taman Sejahtera.

Sebelum kejadian, mangsa tidak pulang ke rumah dua hari sebelum kejadian, namun tiada laporan polis dibuat pihak keluarga mangsa mengenai kehilangannya.