Kembalikan cuti Thaipusam kepada pekerja: MTUC

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengembalikan cuti Thaipusam kepada golongan pekerja.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, ini disebabkan sambutan Thaipusam amat penting kepada pekerja penganut Hindu dan pemberian cuti kepada kaum pekerja adalah satu pengiktirafan bagi mereka.

“Cuti hari Thaipusam bermakna kaum pekerja tidak perlu memohon cuti tahunan untuk melakukan ibadat mereka. Ini adalah kemudahan yang perlu diberikan kepada kaum pekerja dan amalan yang perlu dipertahankan untuk keharmonian negara ini,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Pada Rabu lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan bahawa kerajaan Kedah membatalkan cuti umum Thaipusam tahun ini, susulan pembatalan semua aktiviti bersempena Thaipusam kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pengumuman dibuat Muhammad Sanusi itu mendapat kritikan antaranya daripada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menganggap keputusan berkenaan sebagai berat sebelah.

Sambutan Thaipusam sebelum ini adalah cuti peristiwa di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Hanya Kedah membatalkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tahun ini. Pulau Pinang dan Selangor tidak berbuat demikian, sungguhpun sambutan pelbagai acara bersempena Thaipusam dibatalkan kerana wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, pihaknya melihat pembatalan cuti Thaipusam terbabit adalah langkah ke belakang dibuat oleh kerajaan Kedah untuk kaum pekerja.

Artikel Berkaitan:

“MTUC menyeru kepada ahli politik supaya tidak menjadikan cuti hari Thaipusam sebagai perdebatan untuk mendapatkan sokongan daripada kaum pekerja,” tegasnya.

Kamarul menambah, pemberian cuti Thaipusam tidak akan merugikan negara bahkan akan mewujudkan semangat menghormati antara agama.

“Pengembalian cuti Thaipusam akan memastikan keharmonian negara tercapai,” katanya.