X

Kindly register in order to view this article
!

Pendidikan menerusi TV, radio kaedah sesuai ketika ini

Mohamad Rafie
A
A

SEREMBAN - Pendidikan menerusi siaran televisyen (TV) dan radio antara kaedah alternatif yang sesuai digunakan ketika ini bagi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan alternatif lain PdPR yang tidak bergantung kepada penggunaan komputer riba dan akses internet.

"Ini kerana tidak semua rakyat negara ini mempunyai kemudahan tersebut untuk membolehkan PdPR dilaksanakan secara berkesan dan masih ada lokasi yang kualiti pencapaian internetnya tidak begitu baik.

ARTIKEL BERKAITAN: PdPR tidak bergantung pada gajet sepenuhnya

PdPR peningkan ibu bapa

PdPR kaedah terbaik ketika Covid-19

"Walaupun kaedah alternatif ini seperti 'tindakan ke belakang', tetapi kita tidak mempunyai pilihan lain yang mudah untuk kita laksanakan pada ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Rafie berkata, setiap mata pelajaran perlu disediakan oleh KPM dan disiarkan secara tersusun dengan menyediakan pelbagai saluran mengikut darjah atau tingkatan.

"Dalam masa sama kerajaan perlu mengambil langkah sementara dengan menyediakan tempat-tempat awam berkemudahan internet yang memuaskan kepada masyarakat khususnya pelajar.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini juga tidak akan membolehkan pelajar berkumpul dan belajar di tempat awam tetapi ia adalah sebagai persediaan.

"Apabila keadaan semakin reda (wabak Covid-19) ini membolehkan mereka menggunakan kemudahan-kemudahan pembelajaran di tempat awam seperti di balai raya atau di tempat makan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata, untuk tujuan tersebut Pusat Khidmat Rakyat DUN Ampangan ketika ini dalam proses melengkapkan semua balai raya yang sesuai di kawasan ini dengan kemudahan internet dan komputer.

"Kemudahan internet percuma di Medan Selera Ampangan juga dalam proses untuk disediakan kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan perlu juga melihat alternatif lain iaitu membekalkan peralatan seperti ipad atau komputer riba kepada pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan.

"Jika dipersetujui untuk dilaksanakan, ia perlu dijalankan secara berperingkat kerana tidak mudah untuk memperoleh kesemua keperluan peralatan itu secara serentak dan serta-merta kerana melibatkan jumlah yang agak besar," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!