X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO Kedah sokong gerakan Sinar Rasuah Busters

Pemuda UMNO Kedah komited untuk tampil ke depan bersama-sama dengan gerakan massa Sinar Rasuah Busters. Gambar kecil: Mohd Fadzil Zolkifli
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Kedah mengalu-alukan gerakan massa dipelopori Sinar Harian melalui penubuhan gerakan Sinar Rasuah Busters dalam usaha mempromosikan agenda pemulihan moral bangsa yang lebih berintegriti dan menjauhi amalan rasuah.

Menurut ketuanya, Mohd Fadzil Zolkifli, daripada ranking 175 buah negara, terkini Malaysia menduduki tangga ke-50 dari segi indeks persepsi rasuah (CPI) menunjukan peningkatan ketara daripada Indeks persepsi rasuah tahun 2018 iaitu di tangga ke 61.

Namun katanya, kedudukan Malaysia masih jauh ketinggalan daripada indeks negara jiran iaitu Singapura yang berada di tempat ke-3 negara paling bebas rasuah di dunia.

"Rasuah tidak mengenal sektor. Ia membabitkan orang perseorangan dan organisasi sama ada komersial ataupun bukan. Tanggapan sebelum ini 'korporat memberi, sektor awam menerima'. Kita perlu menghapuskan persepsi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO Kedah berpendapat, untuk sama sama memerangi isu rasuah di negara, pihak kerajaan dan korporat perlu berganding bahu bersama para intelek, ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti antara punca utama gejala ini.

"Mengikut kajian dan pengamatan kami, antara asbab terjadinya rasuah adalah dek ‘sindrom mahu cepat kaya’, terlibat dengan hutang dan perjudian berlebihan, dari segi endorsmen budaya juga mampu mendorong menghalalkan rasuah apabila pemberian dikira sebagai adat ‘customary act’.

"Di sektor awam pula, birokrasi sistem dan penurunan kuasa tanpa pemantauan juga boleh menjadi faktor utama. Malah secara keseluruhannya, jika ekonomi negara kita makin merosot dan persaingan menjadi semakin mencabar maka ruang amalan rasuah ini akan senantiasa terbuka," katanya.

Justeru, Pemuda UMNO Kedah merasakan sudah tiba masanya perlu ada kerangka perundangan lebih menyeluruh dalam perkara ini dengan menyediakan peruntukan tegas, menekankan integriti pengurusan organisasi atau entiti korporat yang bertanggungjawab memastikan persekitaran bebas rasuah lebih menyeluruh dapat dicapai.

"Pergerakan Pemuda UMNO Kedah hari ini dengan penuh keinsafan, komited untuk tampil ke depan bersama-sama dengan gerakan massa Sinar Rasuah Busters.

"Ini bagi memupuk kembali kesedaran baik pemimpin politik, kerajaan dan masyarakat tentang bahayanya amalan rasuah terhadap negara sekali gus menyokong dan senada bersama kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mempromosi agenda jihad ini sehingga ke akarnya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!