Pengayuh beca Melaka gigih cari rezeki alternatif semasa PKP

Mohd Shah (tengah) dibantu rakan-rakannya melakukan kerja-kerja pengubahsuaian salah sebuah beca yang telah ditempah di bengkelnya di Jalan Plaza Mahkota, Banda Hilir, Melaka pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Shah (tengah) dibantu rakan-rakannya melakukan kerja-kerja pengubahsuaian salah sebuah beca yang telah ditempah di bengkelnya di Jalan Plaza Mahkota, Banda Hilir, Melaka pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Seawal jam 8 pagi, Mohd Shah Abdullah, sudah berada di bengkelnya di Jalan Plaza Mahkota, di sini bagi menyiapkan tempahan menghias dan mengubah suai beca milik rakan-rakan pengayuhnya yang tidak dapat beroperasi dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 13 Januari lalu.

Meskipun belum ada kepastian bila PKP kali ini akan berakhir, namun Mohd Shah Abdullah, 36, bapa kepada empat orang anak berusia antara 4 hingga 22 tahun itu, terus cekal mencari rezeki alternatif bagi menyara keluarganya.

Baginya, meskipun sektor pelancongan akan mengambil masa yang agak lama untuk pulih kesan daripada penularan Covid-19, namun kehidupannya perlu diteruskan untuk menyara keluarga.

"Saya menerima tiga beca untuk diubah suai sepanjang minggu pertama pelaksanaan PKP ini, namun saya tidak menetapkan sebarang upah kepada rakan-rakan yang hantar untuk ubah suai beca yang popular dalam kalangan pelancong di Melaka ini.

"Saya faham ramai yang terkesan dengan PKP ini. Saya tak letak harga... terpulang kepada mereka nak bayar berapa," katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya di sini pada Jumaat.

Mohd Shah, yang juga pengayuh beca sejak 10 tahun lepas berkata, kerja-kerja mengubah suai sesebuah beca boleh mencecah sehingga RM9,000 kerana ia menggunakan pelbagai aksesori seperti bunga, patung mainan dan pembesar suara bagi memikat pelancong.

Pengayuh beca memilih watak kartun menghiasi beca mereka kerana ia amat popular dalam kalangan pelancong. - Foto Bernama
Pengayuh beca memilih watak kartun menghiasi beca mereka kerana ia amat popular dalam kalangan pelancong. - Foto Bernama

Beliau berkata, ketika ini, watak kartun seperti Spiderman, Hello Kitty dan Frozen amat popular dalam kalangan pelancong terutama ibu bapa yang mahu menghiburkan anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

"Barang-barang hiasan seperti patung selalunya dibeli dari Ayer Hitam, Johor kerana harganya yang murah manakala bahan lain seperti rotan untuk membuat kerangka dan bunga selalunya diambil daripada pembekal dari Melaka.

"Ubah suai yang saya jalankan ketika ini adalah atas permintaan rakan-rakan yang telah beli barang-barang hiasan tersebut sebelum PKP bermula lagi," katanya.

Katanya, meskipun terkesan dengan pelaksanaan PKP sejak tahun lepas, beliau tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan kerja sambilan.

"Sekarang ini, walaupun tak dapat kayuh beca, saya menjadi penghantar makanan. Mungkin pendapatannya tidaklah seberapa tapi masih cukup untuk saya meneruskan kehidupan bersama keluarga.

"Cuma saya berharap agar kerajaan dapat bantu kami sebagaimana yang dinikmati oleh rakan-rakan dalam industri pelancongan lain di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

"Bagi pengayuh beca yang ada pekerjaan lain ketika PKP ini, mungkin mereka masih mampu bertahan untuk meneruskan hidup, tetapi bagaimana pula kepada mereka yang sehingga sekarang masih belum mendapat pekerjaan," rintihnya. - Bernama