Aliran trafik beberapa lebuh raya perlahan

Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Plaza tol Gombak semakin dipenuhi kenderaan yang menuju masuk ke Kuala Lumpur ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Plaza tol Gombak semakin dipenuhi kenderaan yang menuju masuk ke Kuala Lumpur ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Aliran trafik dilaporkan perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat 5 petang ini berikutan orang ramai mula pulang dari kampung selepas cuti umum perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, aliran trafik di utara bergerak perlahan dari Pendang ke Gurun, Juru ke Bandar Cassia, Changkat Jering ke Bukit Berapit, Sungai Perak ke Terowong Menora dan Ipoh ke Sungkai.

“Aliran trafik di bahagian selatan perlahan dari Nilai ke Putra Mahkota, Nilai ke Bandar Ainsdale, Hentian Rehat Senawang ke Port Dickson, serta Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh ke Hentian Rehat Kampung Bemban,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata aliran trafik juga perlahan dari Bukit Gambir ke Pagoh sehingga ke Ayer Hitam, Machap ke Senai, dan di Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura ke Malaysia di kedua-dua arah.

Sementara itu, Jurucakap ANIH Berhad ketika dihubungi Bernama memaklumkan aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 masih lancar di kedua-dua arah.

“Bagaimanapun aliran trafik dilaporkan perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sehingga ke Plaza Tol Gombak ekoran peningkatan trafik di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kuala Lumpur,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Bagi laluan LPT dan Kuala Lumpur-Karak, orang ramai boleh menghubungi LPT-Line di talian 1700-818-700 atau Twitter rasmi di @LPTtrafik. - Bernama

Artikel Berkaitan: