Terpaksa tutup 20 bilik hotel bajet

Syed Abdul terpaksa menutup 20 bilik Hotel Pines & Resort miliknya di Cameron Highlands kerana terkesan dengan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Syed Abdul
Syed Abdul terpaksa menutup 20 bilik Hotel Pines & Resort miliknya di Cameron Highlands kerana terkesan dengan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Syed Abdul
A
A
A

[LAPORAN KHAS] DI telan mati emak diluah mati bapak. Begitulah situasi yang dihadapi oleh pemain industri hotel ekoran pandemik Covid-19.

Rata-rata mereka mengharapkan simpati kerajaan supaya survival mereka dibela memandangkan penularan wabak berkenaan memberi kesan yang besar terhadap industri perhotelan.

Jika pelaksanaan PKP dilanjutkan lagi dalam tempoh masa yang lebih lama, mereka perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal bahawa industri perhotelan mungkin akan gulung tikar, malah mungkin ‘dikapankan’ pada bila-bila masa memandangkan situasi ini dijangka berlarutan sehingga hujung tahun ini.

Pengusaha hotel bajet Pines & Resort di Brinchang, Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman berkata, situasi pandemik yang makin meningkat membuatkan beliau tekad menutup operasi hotel bajet yang diusahakan sejak sekian lama.

“Saya terpaksa ambil keputusan tutup 20 bilik hotel bajet milik saya di sini. Saya pun tidak tahulah sampai bila. Saya kini sedang memikirkan usaha untuk membayar gaji pekerja pula.

“Kesian kepada mereka. Kalau saya tidak dapat bayar gaji mereka, apa yang mereka nak makan, ada yang nak tunggu sampai hujung bulan ini. Kalau mereka tak dapat gaji mereka tekad nak balik kampung. Saya pun sedih tapi apalah daya, saya pun tak dapat bayar gaji mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Akhbar ini pada Khamis melaporkan lebih 90 buah hotel dilaporkan ditutup selepas negara berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 90 hotel ditutup akibat Covid-19

Artikel Berkaitan:

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat pada 23 November mendedahkan sebanyak 204 syarikat berkaitan pelancongan dan perhotelan gulung tikar sejak PKP dilaksanakan antara Mac hingga Oktober lalu tahun lalu.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan lebih 90 buah hotel dilaporkan ditutup selepas negara berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan lebih 90 buah hotel dilaporkan ditutup selepas negara berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Syed Abdul berkata, sebelum ini beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak bank ketika pelaksanaan PKP pertama Mac tahun lalu bagi menampung kerugian yang dihadapinya.

“Bila pelaksanaan PKP kali kedua, saya jadi buntu dan saya harap kerajaan dapat lanjutkan moratorium memandangkan pengusaha hotel bajet seperti saya ini tidak mempunyai jalan lain lagi dan hanya berharap pada perniagaan ini.

“Kalau kerajaan fikirkan nasib kami, kami harapkan agar jangka masa untuk pembayaran moratorium dilanjutkan dan ada lagi insentif bantuan lain kepada pihak kami yang terpaksa menanggung kerugian yang berlipat kali ganda berbanding sebelum PKP sebelum ini,” katanya lagi.

Menurut Syed Abdul lagi, suasana di Cameron Highlands ketika musim PKP ini juga makin suram apabila tiada kunjungan pelancong baik dalam mahupun luar negara.

“Ramai yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka dan keadaan ini menimbulkan bebanan kepada pihak kami untuk menampung kos operasi,” katanya.

Tambahan pula katanya, kerajaan juga harus memikirkan risiko yang mereka terpaksa hadapi jika PKP diteruskan dalam tempoh lebih lama.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands berharap kerajaan membenarkan pembukaan semula sektor pelancongan dengan prosedur operasi strandard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan perlu tegas dan bertindak lebih kondusif dalam usaha membantu industri perhotelan dan pelancongan untuk kembali bernafas.