Warkah buat Pak Biden

Biden mengambil alih kerajaan AS pada waktu yang sangat mencabar.
Biden mengambil alih kerajaan AS pada waktu yang sangat mencabar.
A
A
A

PAK Biden mengerti makna tragedi. Tentulah bukan mudah bagi Pak Biden yang berusia 29 tahun pada tahun 1972 untuk menerima kemalangan yang menyebabkan isterinya, Neilia dan anak perempuan mereka yang baru berusia setahun meninggal dunia.

Pada tahun 2015, anak lelakinya yang tertua, Beau pula tewas oleh kanser pada usia 46 tahun.

Perjalanan politik Pak Biden begitu panjang sekali dan Pak Biden juga merupakan orang paling tua dinobatkan sebagai Presiden negara itu.

Pak Biden menjadi Presiden pada usia 78 tahun 81 hari, mengalahkan orang yang tertua dilantik sebelum ini, Donald Trump pada usia 70 tahun 222 hari pada hari pertabalannya.

Pak Biden mengambil alih kerajaan AS pada waktu yang sangat mencabar. Dunia sedang menghadapi krisis kesihatan paling buruk dalam sejarah manusia moden.

Wabak Covid-19 mengubah tatacara kehidupan sejagat, mengasak kemanusiaan pada norma baharu yang pahit dan menyebabkan jutaan manusia terjejas. Ekonomi dunia di ambang kemusnahan. Perniagaan terpukul teruk. Orang hilang pekerjaan.

Rakyat AS yang meninggal dunia akibat Covid-19 lebih besar jumlahnya daripada mereka yang terbunuh dalam semua peperangan yang AS pernah terlibat sejak lebih 200 tahun yang lalu.

Pak Biden menjadi Presiden AS yang ke-46 mengambil alih daripada Trump yang membawa AS ke jalan kebingungan dengan dasar-dasarnya. AS tidak pernah dibenci seteruk itu oleh masyarakat dunia.

Artikel Berkaitan:

AS juga berdepan dengan isu rasisme yang luar biasa. Ditambah dengan perilaku Trump yang tidak membendung gerakan puak pelampau kulit putih, AS menjadi negara yang berbahaya bagi ‘Yang Lain’ (The Other).

Agak memeranjatkan juga sokongan terhadap Trump sebenarnya tidak berkurang. Malah, belum pernah dalam sejarah AS, calon yang kalah mendapat undi yang sedemikian banyak iaitu 74,222,958 undi atau 46.8 peratus undi popular.

Pak Biden memperoleh 81,283,098 undi atau 51.3 peratus undi popular. Belum pernah berlaku dalam sejarah AS, mana-mana calon Presiden memperoleh lebih 80 juta undi popular.

Dengan pengalaman selama 48 tahun dalam politik, Pak Biden tentu punya persiapan yang secukupnya. Ia peluang keemasan untuk membetulkan yang salah, meluruskan yang bengkok dan menjernihkan yang keruh.

Dihormati

Dunia mengharapkan perubahan baharu yang segar, yang harmoni, yang inklusif dan dengan semangat saling hormat menghormati.

Syabas kerana Pak Biden memilih Timbalan Presiden yang merupakan anak kepada ibu bapa imigran dari India dan Jamaica. Kamala Harris ialah wanita pertama dan orang bukan kulit putih pertama berada di tempat itu.

Selama empat tahun di bawah Trump, AS dilihat sebagai kuasa yang tersasar, tanpa arah dan tidak boleh diikut. AS tidak lagi dihormati, dihargai atau dilihat sebagai teman dan sekutu.

Ubahlah hala tuju AS agar ia menjadi kuasa yang dihormati kembali. Kita semua tahu Presiden AS boleh berubah tetapi dasar luar negara itu tidak.

Sejak sekian lama AS menjadi ‘penaung’ kepada rejim Israel. Hubungan istimewa AS-Israel bukan rahsia lagi. Sebahagiannya akibat pengaruh lobi Israel yang kuat di AS.

Pak Biden tentu lebih tahu salah satu punca radikalisme anak muda Islam adalah kerana kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap apa yang diperlakukan oleh Israel ke atas Palestin.

Pak Biden boleh terus kekal dengan sikap menutup mata sebelah pada perlakuan Israel atau mencipta sejarah untuk membuat perubahan.

Keamanan di Asia Barat banyak bergantung pada keadaan di Palestin. Negara Islam dan umat Islam di seluruh dunia amat sensitif dengan apa yang berlaku di Palestin.

Dasar luar AS pada keseluruhannya banyak yang silap atau flawed. Dunia tahu dalam banyak hal, AS mahu bertindak sebagai polis dunia. AS melanggar negara orang tanpa menghormati kedaulatan negara berkenaan. Bukan baru gerakan mentidakstabilkan negara didalangi oleh agensi AS.

Adakalanya AS ibarat watak Don Quixote yang menganggap kincir angin sebagai ‘musuhnya’. Cuma bezanya Don Quixote dalam cereka rekaan Miguel de Cervantes itu hanya membahayakan dirinya tetapi AS membawa kemusnahan dan kematian pada ‘musuh-musuhnya’.

Damai

Ingatlah pada tragedi yang menimpa Pak Biden. Pak Biden kelihangan seorang isteri dan seorang bayi dalam kemalangan. Impaknya pada Pak Biden luar biasa. Pak Biden kehilangan Beau pada tahun 2015 akibat kanser. Kesannya masih dirasakan oleh Pak Biden hingga ke hari ini.

Jutaan rakyat Palestin berdepan dengan pelbagai bentuk tragedi sejak tahun 1948. Tiap seorang yang terbunuh tentunya punya impak yang tersendiri bagi orang yang menyayangi, bagi keluarga dan komuniti.

Bayangkan tragedi pada rakyat negara yang pernah ditakluki oleh AS – dari Iraq, Afghanistan juga pembabitan AS di Nicaragua, Libya, Syria, Somalia dan entah puluhan negara lainnya.

Mereka yang terbunuh dan cedera bukan angka – mereka bukan statistik. Mereka tak sepatutnya jadi collateral damage.

Pak Biden boleh memilih untuk menjamin masa depan dunia yang aman dan makmur untuk semua. Atau dunia yang akan terus kucar-kacir.

Kebanyakan daripada tujuh bilion manusia di dunia sekadar mahu hidup, memastikan ada makanan di atas meja dan meningkatkan upaya pendidikan bagi memajukan anak-anak mereka. Mereka tidak mahu kerosakan dan kebinasaan, apa lagi tragedi.

Usahlah ditimpa negara miskin dan manusia daif dengan tragedi akibat dasar yang salah, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Gunakanlah kematian Beau sebagai alasan untuk memperkuat usaha penyelidikan dan perubatan untuk mangsa kanser.

Gunakanlah kekuatan ilmu, teknologi, wang AS dan syarikat besar famaseutikal untuk memastikan manfaat perubatan dan ubat-ubatan terbaik buat negara miskin yang memerlukan.

Jadikanlah AS negara yang mengajak ke arah kemakmuran bersama dan yang memperjuangkan keamanan bukan perang. Slogan Peace Not War yang diteriakkan sewaktu Pak Biden di alam remaja harus diterapkan dalam dasar luar AS demi kesejahteraan sejagat.

Jadilah pemimpin damai.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengerusi Media Prima Berhad