Fokus jerung, bukan ikan bilis sahaja

Salehuddin
Salehuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan pemberi rasuah perlu dibanteras kerana mereka merupakan jerung sebenar dalam jenayah rasuah dan bukan yang menerima suapan.

Penerima rasuah boleh diibaratkan sebagai anak jerung atau ikan bilis.

Pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, sekiranya suatu hari nanti pihak berkuasa dapat membanteras pemberi rasuah, maka tidak akan ada penerima sogokan sekali gus dapat membendung jenayah itu secara keseluruhannya.

"Siapakah sebenarnya yang kita nak bawa dan tuduh ke mahkamah? Adakah ikan bilis, bukan jerung? Ke manakah jerung-jerung? Perkara ini mungkin benar tiga empat tahun yang lalu tetapi sejak kebelakangan ini kita lihat jerung pun dah masuk mahkamah dengan adanya kes berprofil tinggi.

"Ia melibatkan bekas pemimpin sama ada pemimpin politik, ketua jabatan, ketua setiausaha (KSU), timbalan KSU dan menteri-menteri. Ramai yang dituduh di mahkamah dan ini bermakna kerajaan mula mengambil tindakan serius kepada mereka yang dikatakan golongan jerung ini.

"Tetapi bagi saya, jerung ini belum tentu jerung yang besar sebab penerima ini kalau nak kata jerung pun, mungkin jerung yang masih anak sebab jerung yang sebenar ialah pemberi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Edisi Ke-227 bertajuk 'Rasuah busters: Kenapa rakyat perlu bangkit bersuara?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Dalam wacana itu, turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis ialah bekas pesalah rasuah, Mohd Firdaus Ramlan dan Presiden Malaysia Corruption Watch, Jais Abdup Karim manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Wacana siri ke-227 membincangkan topik Rasuah Buster: Kenapa Rakyat Perlu Bangkit Bersuara. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Wacana siri ke-227 membincangkan topik Rasuah Buster: Kenapa Rakyat Perlu Bangkit Bersuara. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Mengulas lanjut, Salehuddin menegaskan, faktor itu juga menyebabkan gejala rasuah tidak akan dapat ditangani hingga ke akar umbi jika pihak berkuasa masih berada dalam 'kepompong' dan hanya mengambil tindakan kepada golongan penerima rasuah sahaja.

Katanya, ketika menggalas tanggungjawab sebagai timbalan pendakwa raya sebelum ini, beliau sering melontarkan pertanyaan mengapa tindakan hanya memberi tumpuan kepada golongan penerima rasuah sahaja.

"Kenapa kita asyik kisahkan untuk menuduh mereka yang menerima? Kita tahu yang menerima ini kadang-kadang (mengambil rasuah) atas sebab kesempitah hidup, gaji yang kecil dan sebagainya. Maka akan ada mereka yang menerima.

"Tetapi kenapa kita tidak fokuskan kepada mereka yang memberi? Sebab mereka yang memberi ini merupakan jerung yang sebenar. Contohnya jika dia nak dapat satu projek dan tidak mahu bersaing dengan pemaju lain maka dia mula merasuah kakitangan kerajaan dari peringan atasan dan ke bawah.

"Kalau projek itu besar berjumlah jutaan ringgit, paling tinggi pun dia akan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan RM1 juta tetapi keuntungan yang mereka dapat tanpa melalui proses yang telus mungkin ratusan juta," katanya.