Rasuah: Tiga impak ketara ekonomi negara

Ekonomi negara akan menerima sekurang-kurangnya tiga impak ketara akibat rasuah yang berleluasa. Gambar kecil: Ahmad Azrin
Ekonomi negara akan menerima sekurang-kurangnya tiga impak ketara akibat rasuah yang berleluasa. Gambar kecil: Ahmad Azrin
A
A
A

SHAH ALAM - Gejala rasuah yang berterusan berisiko melandaikan lengkuk pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat, kata pakar ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Beliau berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku ketika negara berharap lengkuk jangkitan Covid-19 yang dapat dilandaikan segera bukannya ekonomi.

“Dalam suasana pendedahan yang begitu banyak tentang bahaya rasuah, anehnya kadar rasuah tidak pula berkurang. Malah semakin membimbangkan terutamanya dalam beberapa sektor seperti perolehan, penguatkuasaan dan pelesenan.

“Dengan anggaran kerugian kepada negara sebanyak RM40 bilion hingga RM50 bilion akibat aktiviti ini sebagaimana laporan Transparency International Malaysia, impak rasuah kepada pertumbuhan ekonomi ternyata suatu realiti yang pahit untuk ditelan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan gerakan kempen Sinar Rasuah Busters anjuran Sinar Harian.

Ahmad Azrin yang juga Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, ekonomi negara akan menerima sekurang-kurangnya tiga impak ketara akibat rasuah yang berleluasa.

Yang pertama katanya, rasuah menyebabkan peningkatan kadar inflasi yang tentunya akan meningkatkan kos hidup rakyat sekali gus mengurangkan kualiti hidup mereka dan jika tidak ditangani dengan baik akan membawa kepada ketidakstabilan politik.

“Kedua, rasuah mendorong terjadinya kekurangan pelaburan. Ini termasuk pelaburan asing. Ia berpunca daripada peningkatan kos pentadbiran dan urus niaga.

Artikel Berkaitan:

“Persekitaran perniagaan juga menjadi tidak kondusif kerana sarat dengan elemen ketidaktentuan,” katanya.

Selain itu jelas beliau, rasuah juga membawa kepada pembaziran dana awam dan menyukarkan pihak kerajaan mengoptimumkan segala sumber secara cekap.

“Akhirnya, pengagihan peruntukan menjadi tidak seimbang antara keperluan mendesak dan perancangan masa depan untuk kemakmuran bersama.

“Kita tidak ingin hal ini terjadi. Solusinya cuma satu. Hentikan rasuah. Cabarannya, bagaimana? Sama-sama kita bermuhasabah,” katanya.

Untuk rekod, berdasarkan kajian oleh Transparency International Malaysia, aktiviti rasuah telah menelan belanja sebanyak empat peratus daripada keluaran negara kasar (GDP) dengan anggaran kerugian RM40 bilion hingga RM50 bilion bahkan satu lagi hasil kajian menunjukkan tujuh daripada 10 rakyat Malaysia terlibat rasuah.