X

Kindly register in order to view this article
!

Segera basmi Napoleon Kecil

A
A

KETIKA mula-mula menyertai perkhidmatan awam awal tahun 2007, suatu istilah yang popular dan menjadi latar belakang perkhidmatan ketika itu adalah istilah ‘Napoleon Kecil’ (Little Napoleon).

Istilah itu dipopularkan oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya tahun sebelumnya sebagai sebuah analogi sifat penjawat awam yang mirip maharaja kuku besi Perancis abad ke-18 bernama Napoleon Bonaparte yang sombong, bongkak dan suka berlagak dengan kuasa.

Dalam ucapannya, Pak Lah menempelak kelompok Napoleon Kecil itu sebagai ‘Diktator Kecil’ peringkat bawahan yang menurutnya bukan sahaja telah menghina tetapi menolak prinsip asas demokrasi yang meletakkan rakyat sebagai tuan (master) sebenar dalam sebuah kerajaan demokratik.

Bagi Pak Lah, kelompok itu adalah penjawat awam yang bukan sahaja tidak faham makna ‘awam’ (civil) tetapi juga sudah lupa bahawa mereka adalah hamba (servant) kepada orang awam yang upahnya dibayar atas dana awam (baca: cukai).

Secara mudah, Napoleon Kecil diistilahkan sebagai sekumpulan kecil penjawat awam yang berusaha menunjukkan kuasa dengan menunda-nunda atau sengaja melambat-lambatkan sistem penyampaian, perkhidmatan dan pelaksanaan kerajaan.

Kelompok itu berkembang biak dalam perkhidmatan dengan menguasai pejabat-pejabat awam dan berlagak seperti ‘terlampau berkuasa’ sehingga melebihi pegawai atasan.

Bagi kelompok itu, setiap pekerjaan dan tindakan mereka di pejabat akan digunakan sepenuhnya untuk membuli dan menunjukkan kuasa.

Kedudukan mereka sangat kukuh dalam struktur pentadbiran pejabat disebabkan mereka yang mengawal sistem dan proses kerja serta dilindungi pegawai atasan yang turut bersekongkol sama.

Mereka memanipusi keadaan yang ada bagi mendapatkan kepentingan peribadi, sekali gus mencemarkan reputasi dan integriti perkhidmatan awam.

Mungkin ramai antara pembaca yang pernah kena dengan Napoleon Kecil ketika berurusan di pejabat kerajaan.

Sesiapa pernah kena pasti setuju bahawa kita sebenarnya telah lama menderita dalam senyap disebabkan kerenah dan birokrasi kelompok itu sehingga kita jadi malas berurusan dengan jabatan kerajaan.

Ketelusan

Sebab itu, pembasmian kelompok Napoleon Kecil sangat perlu. Mereka menghambat kecekapan dan ketelusan yang memangkin pentadbiran. Mereka ibarat barah yang secara perlahan akan merosakkan sistem pentadbiran negara dan menghumban kita ke arah kehancuran.

Mungkin sukar untuk melakukan perkara itu selagi ekosistem pentadbiran awam sedia ada tidak dapat mengasingkan elemen dan pengaruh politik dalam pentadbiran.

Kedua-dua elemen itu wujud seiringan dalam membentuk kapasiti pentadbiran awam negara. Sebab itu, pembasmian kelompok itu hanya boleh berlaku jika kepimpinan sedia ada sentiasa menekankan prinsip persempadanan dan had antara politik serta pentadbiran.

Dalam konteks tersebut, yang penting bukanlah pemisahan itu tetapi sejauh mana kedua-duanya dapat bekerjasama dengan harmoni untuk tadbir urus yang berkesan.

Hal itu boleh berlaku jika kedua-dua pihak percaya kepada kebergantungan bersama di sebalik peranan berbeza, selain sentiasa mengamalkan komunikasi yang berkesan, mematuhi peraturan, saling menghormati, adil dan profesional.

Justeru, kepimpinan yang kuat dan tegas daripada orang politik serta pihak pentadbir adalah penyelesaian. Ambil tindakan tegas terhadap keparat terbabit dengan seberat-beratnya.

Mereka tidak boleh dibiarkan hanya dengan menukarkan ke jabatan lain atau menyejukbekukan peranannya kepada pekerjaan yang kurang penting.

Jika ia berterusan, maka semuanya akan kembali seperti dahulu. Kekecewaan dan kemarahan rakyat kepada perkhidmatan awam akan kembali berkumpul dan menunggu masa untuk meletup. Jika itu berlaku, kerajaan yang memerintah bakal menerima padahnya.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!