Rasuah adalah penyakit

A
A
A

SECARA prinsipnya, istilah penyakit bukan sahaja berkait dengan masalah kesihatan, malah melibatkan soal kepincangan peribadi dan masyarakat. Oleh itu, rasuah adalah penyakit kerana memberi impak besar terhadap kemusnahan institusi masyarakat.

Pun begitu, gejala rasuah masih tidak dianggap isu yang kronik berbanding dengan pembunuhan, penipuan, mencuri, mengambil dadah dan sebagainya kerana hampir menjadi suatu budaya yang normal dalam sesebuah masyarakat. Mengapa tanggapan sebegini boleh berlaku?

Sebetulnya, gerakan membanteras rasuah adalah bersifat global dan ribuan juta ringgit telah disalurkan kepada institusi seluruh dunia bagi membanteras perbuatan tersebut.

Seriusnya usaha sebegitu dilakukan kerana gejala rasuah telah memberikan impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi, kepercayaan terhadap sesebuah kerajaan, kualiti perkhidmatan awam, pelaburan asing serta kadar kesaksamaan di sesebuah negara.

Natijahnya, banyak kajian dan usaha telah dilakukan untuk membanteras gejala itu, antaranya kajian berdasarkan perspektif psikologi.

Perkara utama yang difokuskan oleh pakar-pakar psikologi adalah kenapa seseorang itu membuat keputusan untuk menerima dan memberi rasuah?

Dapatan kajian menunjukkan punca utama individu menerima rasuah adalah kerana penyalahgunaan kuasa.

Bagi individu yang menjadikan jawatan itu sebagai kejayaan peribadi berbanding dengan amanah rakyat, kecenderungan untuk melakukan rasuah cukup tinggi.

Artikel Berkaitan:

Apa yang nyata, kedudukan tersebut telah menjadikan dirinya lebih hebat berbanding dengan orang lain dan mula bertindak berasaskan apa yang difikirkan betul dan bukannya berdasarkan amanah yang sepatutnya.

Namun, adakah mereka tidak berasa bersalah dengan tindakan tersebut? Kebanyakan individu yang melakukan rasuah telah mengklasifikasikan perbuatan mereka sebagai sesuatu yang rasional dan bukannya luar biasa.

Secara lebih jelas, mereka diyakini dan meyakini bahawa tindakan itu dilakukan untuk mempercepatkan proses, duit tersebut digunakan sebagai tabungan bagi membantu orang lain, orang lain sebelum ini pun ada yang melakukan dan Tuhan tahu apa niat sebenar dirinya.

Justeru, berpegang kepada rasional tersebut, walaupun ditangkap dan disabit kesalahan, mereka masih boleh tersenyum dan tetap berasa tidak bersalah.

Bagaimana pula dengan risiko, tidakkah pelaku rasuah mengetahui perbuatan tersebut berisiko tinggi?

Hakikatnya, sikap sanggup menerima risiko telah ada dalam diri setiap manusia kerana apabila menghadapi kesusahan, mereka sanggup menghadapi risiko bagi menyelamatkan diri dan ahli keluarga.

Maka, tidak hairanlah jika ramai yang mengambil risiko untuk berhijrah ke negara lain setelah negara mereka mengalami peperangan dan keganasan dengan harapan mendapat peluang hidup yang lebih baik.

Begitu juga kes rasuah. Mereka sanggup menghadapi risiko kerana harapannya cukup tinggi bagi mendapatkan laba yang lebih banyak untuk diri, keluarga dan rakan terdekat.

Menariknya, menurut kajian Menocal (2015), golongan wanita kurang melakukan rasuah kerana standard moralnya lebih tinggi berbanding lelaki.

Walaupun kajian itu bersifat penerokaan dan tidak boleh dibuat generalisasi, namun usaha untuk memberikan jawatan penting kepada wanita ada rasionalnya.

Selain itu, hinanya penyakit rasuah selaras dengan firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, 2:188).

Malah, Nabi SAW bersabda: “Laknat ALLAH kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah). Rumusannya, rasuah bukan sahaja racun kepada diri tetapi api yang menyambar di sekeliling mereka.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis