Ikatan sesama rakyat kukuhkan hubungan AS-Malaysia

Kamala memberikan ucapan perpisahan yang disiarkan di akaun Facebook rasmi Kedutaan AS di Malaysia.
Kamala memberikan ucapan perpisahan yang disiarkan di akaun Facebook rasmi Kedutaan AS di Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berkata, sebahagian besar kekuatan hubungan AS-Malaysia ditentukan oleh ikatan sesama rakyat.

Beliau yang akan menamatkan tugasnya selepas lebih empat tahun berkhidmat berkata, banyak yang telah dikongsi Malaysia dan AS, termasuk perpaduan yang dibina dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.

"Saya kagum dengan perpaduan luar biasa yang ditunjukkan rakyat Malaysia tanpa mengira jantina... mereka komited membina masa depan masyarakat dan negara Malaysia yang makmur, damai dan bersatu," katanya dalam ucapan perpisahan yang disiarkan di akaun Facebook rasmi Kedutaan AS di Malaysia.

Lakhdhir berkata, AS akan terus menyokong Malaysia dalam usaha memerangi pemerdagangan hidupan liar dan melindungi ekosistem negara ini.

"Melindungi alam sekitar bukan hanya penting untuk Malaysia, tetapi juga dunia,” katanya sambil mengimbau kembali lawatan pertamanya di Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Diplomat itu mengatakan syarikat AS di negara ini telah menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia selama lebih 100 tahun dan mereka menggaji ratusan ribu rakyat Malaysia dan menyumbang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana.

"Pada 2020, perniagaan AS menyumbang hampir RM7 juta kepada barisan hadapan dan masyarakat tempatan yang terkesan kerana pandemik itu. Saya percaya pada 2021, mereka akan meneruskan usaha ini," tambahnya.

Sepanjang empat tahun berkhidmat, Lakhdhir berkata, Malaysia banyak menerima kunjungan kapal-kapal tentera laut AS, dan berkongsi, antara lain, program kesihatan dan pendidikan awam, selain bertukar idea serta maklumat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya AS komited untuk memastikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dan "kami berbangga bekerjasama dengan Malaysia berhubung keselamatan wilayah dan maritim."

"Terima kasih Malaysia kerana menjadi tuan rumah yang hebat sepanjang empat tahun saya di sini, kita bekerja bersama mewujudkan peluang buat rakyat Malaysia dan Amerika dan diharapkan hubungan ini akan terus kukuh," tambahnya. - Bernama