ADGMIN1 tekankan usaha perkukuh keselamatan siber

Saifuddin semasa sidang media dengan wartawan tempatan dan antarabangsa selepas upacara penutup ADGMIN1 pada Jumaat. - Foto Bernama
Saifuddin semasa sidang media dengan wartawan tempatan dan antarabangsa selepas upacara penutup ADGMIN1 pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN menekankan kepentingan memperkukuh mekanisme keselamatan siber sebagai sebahagian daripada usaha untuk memajukan ketersambungan digital di rantau ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin, yang mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) berkata, ia termasuk keperluan memperkukuh undang-undang dan peraturan untuk menjamin keselamatan dan keselamatan penyambungan data serta menghalang eksploitasi kanak-kanak dan wanita di ruang siber termasuk buli siber.

“Pengukuhan keselamatan siber juga merupakan satu daripada komponen penting dalam Pelan Induk Digital ASEAN 2025,” katanya pada sidang akhbar selepas penutup ADGMIN1 di sini pada Jumaat.

Saifuddin juga berkata, Malaysia bersedia berkongsi kepakarannya mengenai keselamatan siber dengan negara anggota ASEAN melalui Skim Pendidikan Keselamatan Siber Akreditasi Globalnya.

"Di bawah kementerian ini terdapat agensi CyberSecurity Malaysia yang mengatur beberapa aktiviti dengan negara anggota ASEAN termasuk program Skim Pendidikan Cybersecurity Akreditasi Global.

"Ia program pensijilan untuk membangun keupayaan pengurus dan profesional keselamatan siber," katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menekankan kepentingan keselamatan siber dalam ucaptama semasa pembukaan ADGMIN1 pada Khamis.

Menjawab soalan lain, Saifuddin berkata ketersambungan internet ke kawasan luar bandar adalah cabaran yang dihadapi kebanyakan negara anggota ASEAN kerana faktor geografinya

Artikel Berkaitan:

"Namun, dalam mesyuarat ini, saya melihat setiap negara sangat komited dan memperuntukkan sejumlah besar wang untuk melabur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, secara keseluruhan, negara anggota ASEAN telah mencapai kemajuan luar biasa dalam ketersambungan digital walaupun pengukuran setiap negara adalah berbeza. - Bernama