WUIF-UIAM kolaboratif anjur lapan siri forum Wacana Al-Quran

Wacana Al-Quran
Wacana Al-Quran
A
A
A

GOMBAK - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkolaboratif menganjurkan lapan siri forum Wacana Al-Quran berkaitan Kesihatan Mental dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah disiarkan bermula 19 Januari lalu sehingga 4 Februari depan.

WUIF dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, lapan siri forum tersebut memfokuskan kepada 'Ihsan Kepada yang Istimewa' dan ia merupakan siri-siri terpilih yang akan membawakan tayangan video perkongsian 'survivors' yang akan berkongsi pengalaman rawatan serta perjalanan kehidupan sebagai OKU dari pelbagai sudut serta akan dikupas di pentas Wacana Al-Quran.

Menurut WUIF, kerjasama pihaknya bersama UIAM kali ini membawakan empat siri perbincangan berkaitan isu-isu kesihatan mental dan empat siri lagi adalah perbincangan isu-isu tentang OKU.

"Topik dan skop yang akan dikongsikan di pentas Wacana al-Quran adalah PKP: Jangan Sampai Murung, Penawar Jiwa Kacau, Stress Manakah Tempat Mengadu dan Adakah Pesakit Mental Berbahaya?.

"Empat lagi tajuk adalah Menyantuni OKU - Ajaran Islam yang dilupakan?, Santuni OKU - Peluang ke Syurga, OKU – Berjaya di Dunia, Berjaya di Akhirat dan Kesejahteraan Hidup OKU – Antara Impian dan Realiti," katanya.

Menurut WUIF, siri-siri Wacana Al-Quran kali ini akan turut disampaikan oleh para panelis dalam kalangan tokoh terkemuka antaranya Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Mufti Wilayah Persekutuan KL, Dr Luqman Abdullah, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, bekas Menteri Pendidikan,Dr Maszlee Malik dan Wakil OKU di Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi.

"Dengan berpegang kepada nas al-Quran dan As-Sunnah, Wacana Al-Quran berusaha membawakan resolusi sebagai rujukan solusi kehidupan di setiap siri yang disiarkan.

"Siri forum Wacana Al-Quran tersebut akan disampaikan dalam Bahasa Melayu dan siarannya menggunakan pelantar webinar serta rakaman dalam studio yang dijalankan di Studio Sinar di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, program tersebut akan dipaparkan menerusi Wacana Al-Quran, laman Facebook Sinar Harian dan IIUM Online, malah siri pertama telah disiarkan pada 19 Januari lalu selama satu jam bermula jam 5.30 petang dengan menampilkan pengacara program iaitu Fazrul Ismail, Qari Jemputan Ustaz Abdul Khair Jalil, Johan Qari Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2019 berserta dua orang panelis.

"Diharapkan dengan kolaboratif bersama pihak UIAM dan gabungan kepakaran para panelis, Wacana Al-Quran akan dapat terus menjadi platform bagi membongkar solusi al-Quran dalam membina ekosistem Islam serta memberi manfaat kepada ummah," katanya.