X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

MFL nafi Liga Malaysia 2021 dibatalkan

Ab Ghani
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan bahawa saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 akan dibatalkan.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan selepas tular satu video di sebuah platform media sosial (Youtube) berjudul ‘TERKINI! LIGA MALAYSIA MUSIM 2021 MUNGKIN AKAN DIBATALKAN’.

Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya kecewa selepas melihat laporan palsu berkenaan yang sekali gus memberikan impak negatif kepada penaja selain agensi kerajaan yang tampil membantu MFL dalam menjayakan perancangan liga tempatan.

“Saya mahu menafikan laporan berita mengatakan Liga Malaysia musim 2021 dibatalkan dan Presiden MFL (Datuk Hamidin Mohd Amin) mengesahkan beliau tidak membuat kenyataan kepada mana-mana media atau blog tempatan.

“Saya kesal dengan segelintir pihak yang cuba menggagalkan usaha keras kami untuk memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan seperti biasa melalui perkhabaran palsu ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi ‘Malaysian Football League’ pada Jumaat.

Ab Ghani berkata, MFL dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga membincangkan serta mengkaji mekanisme pelaksanaan Liga-M 2021 dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam satu mesyuarat dalam talian.

Katanya, mesyuarat itu diadakan sebagai usaha memastikan perjalanan kalendar bola sepak Malaysia berjalan seperti dirancang selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa MFL, selaku badan pentadbir Liga-M, akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan bagi musim 2021 pada minggu hadapan.

“Perubahan daripada jadual itu dijangka berlaku berikutan penguatkuasaan PKP dan itu tidak boleh dinafikan tetapi pembatalan Liga Malaysia musim 2021, insya-ALLAH tidak akan terjadi,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!