Imam di UK bantu kempen vaksinasi Covid-19

Vaksin dihasilkan Oxford-AstraZeneca antara yang mendapat kelulusan pemerintah UK untuk digunakan dalam program vaksinasi Covid-19 di negara itu. - Foto AFP
Vaksin dihasilkan Oxford-AstraZeneca antara yang mendapat kelulusan pemerintah UK untuk digunakan dalam program vaksinasi Covid-19 di negara itu. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Imam di seluruh United Kingdom (UK) melancarkan kempen untuk meredakan kebimbangan komuniti Islam tentang keselamatan vaksin Covid-19 melalui pengaruh mereka dan khutbah solat Jumaat.

Pengerusi Lembaga Penasihat Masjid dan Imam Kebangsaan (MINAB), Qari Asim yang mengetuai kempen itu antara yang menyokong program vaksinasi tersebut.

"Kami yakin dua vaksin yang digunakan di sini yang dihasilkan Oxford-AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech dibenarkan mengikut perspektif Islam.

"Keraguan dan kebimbangan yang timbul disebabkan oleh maklumat palsu, khabar angin dan teori konspirasi yang tersebar dengan meluas," ujarnya merujuk kepada ketidakpercayaan yang tinggi dalam kalangan etnik minoriti di negara tersebut.

Usaha meyakinkan kira-kira 2.8 juta penduduk Muslim di UK itu dibuat selepas keputusan kaji selidik menunjukkan 72 peratus responden mungkin tidak akan mendapatkan suntikan vaksin tersebut walaupun pemerintah melancarkan program vaksinasi secara besar-besaran untuk membendung penularan wabak itu dan ancaman varian baharu.

Difahamkan, keselamatan vaksin itu diragui selepas ada pihak yang sengaja menyebarkan maklumat salah dengan mendakwa ia mengandungi gelatin babi atau alkohol yang dilarang agama Islam.

Selain itu, ramai penduduk Muslim juga bimbang selepas vaksin itu didakwa boleh mengubah DNA dan melibatkan proses memasukkan mikrocip dalam tubuh. - AFP

Artikel Berkaitan: