'Ahli politik kena jujur dalam kelulusan akademik'

Muhammad Bakthiar Wan Chik
Muhammad Bakthiar Wan Chik
A
A
A

BAYAN BARU - Kejujuran adalah polisi terbaik bagi semua wakil rakyat dalam menjalankan tanggungjawab termasuk membabitkan isu kelulusan akademik.

Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakthiar Wan Chik berkata, pada zaman moden kini, semua ahli politik perlu bersikap jujur demi integriti yang perlu ditunjukkan kepada rakyat.

Menurutnya, ahli politik dan barisan pemimpin tidak perlu malu sekiranya tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

"Pada zaman internet dan berteknologi tinggi ini, saya rasa kejujuran adalah polisi terbaik. Kena jujur dalam semua hal termasuk kelulusan akademik. Integriti perlu ada agar rakyat tidak ragu-ragu dengan kredibiltii seseorang ahli politik itu.

"Tak perlu malu untuk mengakui kelulusan yang ada kerana ahli politik diukur berdasarkan kredibiliti, prestasi dan kemampuannya dalam menjalankan amanah rakyat. Kita ambil contoh Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba. Beliau hanya guru biasa tetapi prestasinya dalam politik, tidak boleh dipertikai lagi," katanya kepada media tadi.

Beliau ditemui di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR Pulau Pinang 2019 di sini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, pada zaman tanpa sempadan ini, adalah mustahil untuk mengawal seseorang dalam membongkar sesuatu perkara menerusi internet.

"Zaman sekarang, orang boleh periksa bila-bila masa. Apa saja orang boleh periksa. Sebab itu sebagai ahli politik, kena jujur dalam kelulusan akademik. Kita tak mampu untuk mengawal semua orang untuk bongkar.

Artikel Berkaitan:

"Dalam beberapa saat saja mereka dah boleh dapat apa yang mereka cari. Hanya satu carian, mereka boleh dapat apa yang mereka mahukan," katanya.

Ditanya mengenai isu Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang didakwa memiliki ijazah palsu dari sebuah universiti luar negara, Muhammad Bakthiar berkata, beliau menyerahkan isu tersebut kepada Bersatu.

"Saya rasa, isu Bersatu biarlah parti itu yang uruskan. Sebarang tindakan, biar parti itu yang tentukan.

"Kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk buat keputusan, saya tidak masuk campur," katanya.

Menjawab soalan mengenai ahli politik tidak perlu memiliki kelulusan tinggi, Muhammad Bakthiar berkata, beliau bersetuju dengan pendapat tersebut kerana seseorang ahli politik itu diukur pada prestasinya.

"Pendapat itu betul, kerana kunci utama adalah integriti dan prestasi kerja. Tak perlu kelulusan tinggi kerana kebanyakkan ahli politik dilantik berdasarkan prestasi mereka sebagai wakil rakyat," katanya.

Sebelum ini, dua laporan polis dibuat terhadap Marzuki kerana didakwa memiliki ijazah sarjana muda palsu dari sebuah universiti luar negara.

Laporan itu juga dibuat selepas dakwaan program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Sehubungan itu, Marzuki dalam sebuah portal dilaporkan menjelaskan bahawa ijazah dalam pentadbiran perniagaan beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat, dan bukan Universiti Cambridge di United Kingdom.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan beliau menipu berhubung kelulusan ijazah sarjana muda daripada Universiti Cambridge.