X

Kindly register in order to view this article
!

ADGMIN1 berakhir dengan penerimaan Pelan Induk Digital ASEAN 2025

Reaksi Saifuddin ketika ADM2025 sempena ADGMIN1 hari ini. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pertama Menteri-menteri Digital ASEAN (ADGMIN1) yang berlangsung secara telesidang berakhir hari ini dengan Deklarasi Putrajaya menerima pakai Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM 2025) sebagai terasnya.

Malaysia diberi penghormatan menyelaras pembangunan ADM 2025 bagi ASEAN dengan pelan induk lima tahun yang menyenaraikan lapan Matlamat Keberhasilan untuk memudahkan kerjasama serantau dalam pembangunan sektor digital di ASEAN.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, pada sidang media yang berlangsung secara maya selepas pelancaran ADM 2025 berkata, negara anggota ASEAN komited untuk melaksanakan langkah-langkah dalam ADM 2025 dengan segera dan secara sepenuhnya.

“Meskipun penekanan sama akan diberikan ke atas kesemua lapan Matlamat Keberhasilan namun hasil perbincangan dalam kalangan Menteri-menteri Digital ASEAN semalam menyaksikan bahawa peningkatan kualiti dan liputan Infrastruktur Jalur Lebar Tetap dan Mudah Alih telah kenal pasti sebagai kritikal kerana ia membentuk asas yang mendasari perkhidmatan digital, yang pada akhirnya akan sampai kepada pengguna.

“Ini mendahului senarai keutamaan diikuti isu keselamatan siber kerana hampir setiap negara anggota ASEAN memperkatakan mengenai langkah memperkukuhkan keselamatan siber,” katanya.

Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada pelancaran ADM 2025 secara telesidang, ia dibangunkan dengan wawasan ASEAN sebagai blok peneraju komuniti dan ekonomi digital yang dipacu oleh perkhidmatan digital, teknologi dan ekosistem yang selamat dan transformatif.

Bagi mencapai wawasan ini, ADM 2025 telah mengenal pasti lapan Matlamat Keberhasilan iaitu:

1. Tindakan ADM 2025 yang mengutamakan pemulihan ASEAN daripada pandemik Covid-19;

2. Peningkatan kualiti dan capaian infrastruktur jalur lebar tetap dan mudah alih;

3. Penyampaian perkhidmatan digital yang boleh dipercayai dan pencegahan kemudaratan kepada pengguna;

4. Pasaran yang berdaya saing dan mampan bagi penawaran perkhidmatan digital;

5. Peningkatan kualiti dan penggunaan perkhidmatan e-kerajaan;

6. Perkhidmatan digital untuk menghubungkan perniagaan dan menggalakkan perdagangan rentas sempadan;

7. Peningkatan kemampuan perniagaan dan rakyat untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital; dan

8. Masyarakat digital ASEAN yang inklusif.

"Setiap Matlamat Keberhasilan disokong pula oleh antara dua hingga sembilan Tindakan Pengupayaan yang memperincikan langkah-langkah ke arah pencapaian setiap Matlamat Keberhasilan.

“Pembangunan dan pemeteraian ADM 2025 merupakan hasil kerjasama erat dan gandingan aktif oleh semua Negara Anggota ASEAN. Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN bagi mencapai Wawasan yang termaktub dalam ADM 2025,” katanya.

ADGMIN1, yang berakhir pada Jumaat didahului oleh Mesyuarat Pertama Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM1) selama dua hari yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek.

ADGMIN1, yang berlangsung buat julung kali dengan Malaysia sebagai tuan rumah, bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN ke arah pembinaan ekosistem digital sebagai teras pelan pembangunan pasca Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!