PKP: Anggota polis diberi kelonggaran masuk ke Sabah

Masidi
Masidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri Sabah bersetuju memberi kelonggaran kepada pegawai dan anggota polis untuk masuk ke Sabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri bagi Covid-19 berkata, antara syarat perlu dipatuhi ialah pegawai dan anggota yang bertugas di Sabah hendaklah mendapatkan cap Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 semasa ketibaan.

"Kemasukan ke Sabah hendaklah menggunakan Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) atau Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA) untuk mendapatkan cap seksyen itu dan mengemukakan dokumen sokongan seperti surat pertukaran atau surat penempatan daripada jabatan untuk berkhidmat di Sabah.

"Bagi tanggungan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas di Sabah, hendaklah menunjukkan bukti hubungan dan mendapatkan cap Seksyen 66(2) Akta Imigresen 1959/63 atau memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang di pejabat Imigresen Sabah dengan segera setelah masuk ke Sabah," katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Masidi berkata, selaras dengan keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan, kerajaan Sabah bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/kiosk termasuk perkhidmatan penghantaran makanan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

"Aktiviti jualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja. Semua stesen minyak di negeri ini juga dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam," katanya.

Masidi berkata, sebanyak 453 kes Covid-19 direkodkan di Sabah pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 45,862 kes dan sehingga kini sebanyak 307 kematian dalam kalangan kes positif Covid-19 dicatatkan.

"Daripada jumlah ini, 131 kematian telah dilaporkan daripada wad unit rawatan rapi (ICU), 54 di wad pengasingan atau unit kecemasan manakala selebihnya 122 adalah kematian di luar hospital.

Artikel Berkaitan:

"Kategori umur kematian di bawah 20 tahun mencatatkan seramai tujuh orang, 21 hingga 50 tahun seramai 46 orang, (51-60 tahun) seramai 66 orang, (61-70 tahun) seramai 94 orang, (71-80 tahun) seramai 56 orang, (81-90) tahun seramai 32 orang dan yang berumur melebihi 91 tahun seramai enam orang," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan daripada mereka yang terkesan teruk daripada jangkitan Covid-19 mempunyai penyakit kronik seperti masalah jantung, diabetes, penyakit paru-paru kronik dan penyakit buah pinggang. - Bernama