UPM nafi pelajar positif Covid-19 selepas program sukarelawan di MAEPS

UPM menafikan dakwaan seorang pelajarnya positif Covid-19 selepas menyertai misi bantuan sukarelawan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
UPM menafikan dakwaan seorang pelajarnya positif Covid-19 selepas menyertai misi bantuan sukarelawan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Putra Malaysia (UPM) menafikan dakwaan seorang pelajarnya positif Covid-19 berpunca daripada menyertai misi bantuan sukarelawan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Nuruliman Ibrahim berkata punca pelajar tersebut dijangkiti masih tidak diketahui.

"Dakwaan yang mengatakan ia berpunca dari penyertaannya dalam misi bantuan sukarelawan di PKRC 2.0 MAEPS adalah andaian yang tidak berasas sama sekali.

"Skop tugasan di PKRC 2.0 adalah dikawal selia oleh pihak Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor. Ia merupakan tempat yang selamat, terkawal dan 100 peratus patuh SOP.

"Hanya seorang pelajar sahaja yang disahkan positif Covid-19 pada masa ini. Pelajar berkenaan merupakan wakil pelajar yang sangat aktif dalam pelbagai program bersifat kebajikan dan kesukarelawan," katanya pada Jumaat.

Seramai 75 sukarelawan daripada UPM mengambil bahagian dalam misi memasang katil baharu di sebuah dewan pameran untuk dijadikan tempat kuarantin berkeluarga.

Sementara itu, Nuruliman berkata, kontak rapat beberapa orang pelajar yang mempunyai kontak rapat dengan individu tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di bawah pengawasan kolej masing-masing.

Katanya, kondisi semua pelajar yang terlibat berada dalam keadaan baik dan pergerakan semua pelajar di dalam kampus untuk keluar bagi mendapatkan barangan keperluan diri turut dikawal dan dipantau pihak universiti.

Artikel Berkaitan:

"Realitinya, kita semua pada hari ini sentiasa terdedah kepada risiko dijangkiti Covid-19 dan adalah amat tidak adil untuk mengatakan ianya semata-mata berpunca daripada aktiviti di PKRC MAEPS," tambahnya.

Semua kes positif Covid-19 dalam kalangan warga UPM dikendalikan oleh Pusat Kesihatan UPM, Hospital Pengajar UPM dan Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM.