Tun Mahathir sokong kempen Sinar Rasuah Busters

Surat yang ditulis Mahathir kepada Hussamuddin mengenai usaha membanteras rasuah di negara ini.
Surat yang ditulis Mahathir kepada Hussamuddin mengenai usaha membanteras rasuah di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong penuh usaha Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub untuk membanteras rasuah di negara ini.

Dr Mahathir berkata, beliau tertarik dengan usaha tersebut dan mengakui bahawa rasuah sudah menjadi budaya rakyat Malaysia terutama orang politik.

Menurutnya lagi, sebagai orang politik, beliau sedar bahawa rasuah sudah meningkat sehingga ke tahap boleh mendirikan kerajaan.

“Saya tertarik dengan usaha Datuk (Hussamuddin) untuk membanteras rasuah. Walaupun saya ahli politik dan sudah tua, saya sokong penuh usaha Datuk.

“Rakyat memilih kerajaan tetapi perasuah boleh jatuhkan kerajaan dengan membeli penyokong kerajaan supaya berhenti sokongan mereka.

“Apabila kerajaan jatuh maka kerajaan lain boleh didirikan oleh wakil rakyat lain termasuk pencuri, penyamun dan penjenayah yang ditolak oleh rakyat,” tulisnya dalam satu surat kepada Hussamuddin pada Jumaat.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, kerajaan yang terdiri daripada 'penjenayah' sudah pasti akan menggunakan kuasa untuk kepentingan mereka dan menghancurkan negara.

“Saya ingin mendengar pandangan dan nasihat daripada Datuk (Hussamuddin) akan cara membanteras keadaan yang sudah berlaku ini,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Hussamuddin pada 16 Januari lalu melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa berjaya mendapat respons positif daripada pelbagai pihak.

Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.

Idea gerakan memulihkan moral bangsa tercetus dengan melihat kereputan sistem nilai, integriti dan 'bad governance' dalam negara ketika ini.

Beberapa pemimpin politik dari parti berbeza turut menyatakan sokongan terhadap usaha memerangi rasuah.