Pelajar positif Covid-19 duduki peperiksaan berasingan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pelajar peperiksaan utama sesi 2020 yang dikenal pasti positif Covid-19 dan terpaksa menjalani kuarantin akan dikecualikan menduduki peperiksaan pada tempoh yang dijadualkan.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, mereka akan dibenarkan menduduki peperiksaan secara berasingan sebaik disahkan pulih atau selesai menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

"Kementerian sudah membuat SOP (prosedur operasi standard) dan garis panduan mengenai bagaimana situasi calon yang sihat, bergejala, positif Covid-19 atau dikuarantin menjalani peperiksaan.

"Bagi pelajar yang sihat akan menduduki peperiksaan seperti ditetapkan, contohnya bagi peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada 22 Februari depan tetapi bagi calon dalam tempoh positif dan dikuarantin, boleh menduduki peperiksaan sebaik disahkan sihat dan selesai jalani kuarantin," katanya pada sidang media secara dalam talian berkaitan Pengoperasian Sekolah Tahun 2021 menerusi aplikasi Webex pada Jumaat.

Tambah Habibah, kebiasaannya tempoh peperiksaan SPM contohnya, lebih panjang dari tempoh kuarantin 14 hari, jadi pelajar boleh menduduki kertas peperiksaan yang masih berlangsung sebaik tamat kuarantin.

"Bagi kertas peperiksaan awal yang mereka tidak sempat duduki, KPM akan tentukan tarikh lain untuk mereka menjawab soalan tetapi set kertas peperiksaan akan berlainan namun masih mengekalkan standard soalan (piawaian sama) bagi mengelakkan timbul isu soalan bocor dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan: