IRDA cadang gelembung perjalanan di Iskandar Malaysia

Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA secara dalam talian selain diberikan taklimat perkembangan terkini Iskandar Malaysia termasuk laporan kewangan bagi tahun 2020.
Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA secara dalam talian selain diberikan taklimat perkembangan terkini Iskandar Malaysia termasuk laporan kewangan bagi tahun 2020.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mencadangkan gelembung perjalanan dalam wilayah Iskandar Malaysia untuk terus melonjakkan pertumbuhan dan aktiviti ekonominya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa sama pihak IRDA akan terus menyediakan infrastruktur, perkhidmatan dan inisiatif melatih semula tenaga kerja yang berkemahiran.

"Saya rasa gembira apabila Iskandar Malaysia mengambil usaha-usaha ke hadapan dengan memperkukuh tumpuannya terhadap inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja menyokong kelangsungan hidup malah secara berterusan melonjakkan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan IRDA di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersama IRDA mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA secara dalam talian yang turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Bersama IRDA dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Beliau berkata, pada masa sama Iskandar Malaysia wajar meneroka peluang baharu terutama dalam bidang pertanian moden.

Jelas Muhyiddin, bidang berkenaan yang terbuka luas mampu menjadi penyumbang utama dalam agenda keselamatan makanan negara.

"Pelaksanaan program pertanian moden berupaya meletakkan Johor sebagai pengeluar makanan utama dan terbesar di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah melaksanakan banyak inisiatif bagi menangani pelbagai isu membabitkan keperluan asas rakyat dan sektor perniagaan kecil.

"Tujuannya untuk meneruskan kelangsungan mereka pada ketika berdepan suasana sukar kini," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, melalui inisiatif gelembung perjalanan, Iskandar Malaysia menyasarkan individu yang berupaya menyumbang kepada ekonomi tempatan dan mereka dibenarkan memasuki negara ini.

"Mereka ini mungkin dalam kalangan ahli perniagaan, pelajar antarabangsa atau pelancong yang datang dari negara-negara Zon Hijau Covid-19 seluruh dunia," katanya.

Bagaimanapun katanya, gelembung perjalanan itu mesti mematuhi peraturan yang ketat seperti tiba ke negara ini dengan sistem pengangkutan khas dan hanya dibenarkan melawat lokasi ditetapkan.

"Infrastruktur asas terutama capaian sistem rangkaian komunikasi terbuka, fleksibel dan berkelajuan tinggi tetap menjadi agenda utama wilayah ekonomi ini sebagai langkah penyelesaian jangka panjang bagi menarik pelabur dan pelancong ke Iskandar Malaysia," katanya.

Ismail turut memaklumkan laporan kewangan Iskandar Malaysia bagi 2020 merekodkan pelaburan kumulatif berjumlah RM24 bilion iaitu 75 peratus diperoleh daripada pelabur asing manakala 25 peratus pelabur domestik.

Sejak 2006 sehingga kini katanya, pelaburan kumulatif keseluruhan Iskandar Malaysia mencatatkan RM337.3 bilion dengan China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Belanda, dan Korea Selatan mendahului sebagai pelabur utama.