Wang simpanan lebih RM230,000 lesap ditipu sindiket pelaburan

Shamsul Amar
Shamsul Amar
A
A
A

KLANG - Seorang tukang masak di sebuah hotel berputih mata selepas duit simpanannya berjumlah lebih RM230,000 lesap diperdaya sindiket penipuan pelaburan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pada 2 September tahun lalu itu, mangsa berusia 23 tahun telah dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai rakan lama.

Menurutnya, individu itu kemudian telah menawarkan kepada mangsa satu bentuk pelaburan bernama 'genting16.com'.

"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah bersetuju dengan pelaburan terbabit dan telah memasukkan sejumlah RM235,071 melalui 29 transaksi ke dalam empat akaun.

"Mangsa bagaimanapun tidak memperoleh sebarang keuntungan dalam tempoh yang dijanjikan dan modal mangsa juga tidak dikembalikan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan itu, pada Khamis, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menahan dua individu termasuk seorang wanita di Sungai Buloh, Selangor dan Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan mendapati wanita berusia 25 tahun terbabit berperanan sebagai keldai akaun manakala suspek lelaki berusia 35 tahun dipercayai adalah ejen membekal maklumat dan kad ATM kepada sindiket berkaitan.

"Soal siasat juga suspek mengaku maklumat bank dan kad ATM dijual dengan harga RM3,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan ahli sindiket lain yang terlibat," katanya.

Tegasnya, kedua-dua suspek telah direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.