Takwim peperiksaan 2020 tidak berubah

Habibah
Habibah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Takwim bagi peperiksaan awam untuk tahun 2020 kekal seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, peperiksaan yang dimaksudkan itu membabitkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Katanya, turut tersenarai peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

"Kementerian tidak akan menangguhkan semua peperiksaan utama sesi 2020 yang sudah dijadualkan berlangsung tahun ini termasuk kemungkinan penutupan sekolah atau sesi pembelajaran bersemuka.

"Buat masa ini semua yang sudah dirancang akan dilaksanakan seperti ditetapkan dan penangguhan hanya akan dibuat jika berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan," katanya pada sidang media secara dalam talian (online) berkaitan Pengoperasian Sekolah Tahun 2021 menerusi aplikasi Webex pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Habibah berkata, sebelum ini apabila KPM berhasrat membawa pelajar-pelajar kelas peperiksaan kembali ke sekolah, perkara itu sudah dibincangkan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"KPM tidak membuat keputusan sendiri dan amat penting untuk pelajar-pelajar terlibat hadir ke sekolah dan seterusnya menduduki peperiksaan.

"Kita tidak tahu apa senario akan datang tetapi KPM akan mengikut saranan ditentukan KKM dan buat masa ini, kelas dan peperiksaan yang ditetapkan akan diteruskan seperti dirancang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa jika anak-anak mereka yang hadir ke sekolah dijangkiti Covid-19, Habibah berkata, pihaknya sudah menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan di sekolah.

Menurutnya, apa yang penting ibu bapa perlu membantu dan memastikan anak-anak mereka menjaga kesihatan dan keselamatan diri serta bersedia untuk mengambil peperiksaan.

"Jika kita lihat laporan kes penularan Covid-19 yang berada dalam komuniti, tiada kluster dari sekolah kerajaan dilaporkan buat masa ini kerana kementerian sudah menyediakan SOP dan garis panduan untuk dipatuhi pihak sekolah.

"Begitu juga dengan peperiksaan nanti, kita ada SOP untuk dipatuhi iaitu sebelum dan selepas mengambil peperiksaan. Malah SOP pada kali ini juga lebih ketat dan perlu dipatuhi semua," katanya.