1.34 tan produk pertanian import tanpa permit dirampas

Anggota Maqis membuat pemeriksaan terhadap lori-lori yang membawa masuk barangan dari negara jiran di Kompleks ICQS Rantau Panjang.
Anggota Maqis membuat pemeriksaan terhadap lori-lori yang membawa masuk barangan dari negara jiran di Kompleks ICQS Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan merampas 1.34 tan produk pertanian import yang tidak mempunyai permit dan gagal mematuhi syarat import.

Rampasan membabitkan cili padi, lengkuas, pisang, ubi keledek dan daun limau purut bernilai berjumlah RM9,124 di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dalam operasi bermula jam 5 hingga 7 petang.

Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At berkata, tiga buah lori yang membawa barangan itu turut diperiksa dan kesemuanya tidak mempunyai permit import yang sah.

"Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesalahan dilakukan oleh pihak yang masih berdegil walaupun telah dikenakan tindakan undang-undang sebelum ini.

Roslan berkata, Maqis Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan tindakan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara akan terus diperkasakan dari masa ke masa.

"Ini bagi memastikan jaminan keselamatan makanan terpelihara daripada sebarang penyakit.

"Kita mahu keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: