Mekanik curi komponen kenderaan diberkas

Antara barangan yang dirampas di dalam kereta suspek.
Antara barangan yang dirampas di dalam kereta suspek.
A
A
A

AMPANG - Seorang mekanik ditahan kerana disyaki mencuri komponen kenderaan di sekitar kawasan Pandan Indah di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Pandan Indah telah mengekori suspek yang memandu Proton Saga BLM berwarna hitam di hadapan lampu isyarat Taman Bukit Permai sehingga ke Blok 3 Mutiara Court Bukit Permai, sebelum menahan kenderaan itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan di dalam but kereta menjumpai barang-barang yang disyaki telah dicuri.

"Kita merampas dua unit lampu Proton Saga BLM, satu unit lampu belakang Proton Saga BLM, dua unit radio kereta dan pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan jenayah mencuri komponen kenderaan," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek ialah menyasarkan kenderaan lama yang diparkir di tepi jalan kawasan Lembah Jaya dan Pandan Indah.

"Suspek yang bergerak sendirian kebiasaannya melakukan jenayah selepas jam 8 malam.

"Lelaki itu akan membuka komponen kenderaan sebelum menggunakan barangan itu atau dijual," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes samun.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin bagi membantu siasatan Seksyen 379 (a) (1) Kanun Keseksaan," katanya.